Pengadil uji kad kuning digital dalam aksi Piala Uruguay

Pengadil uji kad kuning digital dalam aksi Piala Uruguay

PENGADIL bola sepak Uruguay menguji penggunaan peranti elektronik bersaiz telefon bagi menggantikan kad kuning tradisional dalam satu perlawanan Piala Uruguay minggu ini sebagai usaha memodenkan sistem pengadilan sukan itu.

Pengadil perlawanan, Eduardo Varela menggunakan peranti berkenaan ketika aksi Copa Uruguay antara Nacional dan Rentistas bagi menguji sistem yang direka untuk memudahkan urusan pentadbiran pengadil menerusi rekod disiplin secara digital.

Pengarah syarikat REFe, Mauro Sacco berkata, inovasi itu bertujuan membawa teknologi kepada aspek bola sepak yang masih bergantung kepada kaedah manual.

“Kami mahu membawa teknologi kepada satu-satunya perkara dalam bola sepak yang masih bersifat analog,” katanya.

Menurut Sacco, idea itu tercetus lebih tiga tahun lalu ketika beliau bersama seorang lagi pengarah REFe, Diego de la Pena menyaksikan perlawanan dalam keadaan hujan.

Situasi itu mendorong mereka memikirkan cara pengadil merekodkan amaran secara manual sebelum memindahkan maklumat berkenaan ke sistem digital.

Peranti baharu itu mampu merekodkan insiden perlawanan berserta cap masa sekali gus membantu mempercepatkan proses penghantaran laporan rasmi ke platform COMET milik Persatuan Bola Sepak Uruguay.

Varela menyifatkan peranti itu selesa digunakan dan mempunyai perisian yang bertindak balas dengan pantas, namun mengakui penggunaannya tidak memberikan kesan dramatik seperti isyarat kad kuning tradisional.

“Sedikit sebanyak, kita kehilangan keunikan ketika mengangkat kad dengan pantas. Namun, saya fikir teknologi ini banyak membantu, khususnya dalam urusan pentadbiran,” katanya.

Bagaimanapun, ujian awal itu turut mendedahkan beberapa kelemahan, terutama dari segi keterlihatan skrin.

Percubaan terdahulu terpaksa dihentikan selepas cahaya matahari menyebabkan paparan sukar dilihat, manakala penonton di stadium dan penonton televisyen turut menghadapi kesukaran mengenal pasti beberapa keputusan disiplin ketika perlawanan Khamis lalu.

De la Pena berkata teknologi itu masih memerlukan penambahbaikan bagi memastikan paparan lebih jelas kepada semua pihak.

“Projek ini masih mempunyai ruang untuk diperbaiki. Paparannya kelihatan jauh lebih baik secara langsung berbanding di televisyen. Cabaran kami sekarang adalah untuk memastikan ia lebih jelas kepada semua penonton,” katanya.

Beliau menegaskan warna kad perlu kekal jelas dan mudah dikenal pasti sama ada di stadium atau menerusi siaran televisyen.

“Kuning mesti kekal kuning dan merah mesti kekal merah. Warnanya perlu jelas kepada penonton di stadium dan mereka yang menonton melalui televisyen,” katanya.

Bagi mengatasi masalah itu, pembangun sedang meneliti beberapa penambahbaikan termasuk pemasangan lampu LED di sekeliling peranti bagi meningkatkan kejelasan warna kepada penonton.

Sacco berkata jenama berkenaan sudah didaftarkan manakala perkakasan dan perisiannya telah dipatenkan. Pembangunan teknologi itu turut melibatkan pasukan yang berpangkalan di China.

REFe berharap teknologi itu dapat terus ditambah baik sebelum berpeluang digunakan secara lebih meluas, termasuk oleh badan induk bola sepak Amerika Selatan, CONMEBOL, dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Scroll to Top