Arteta percaya Gyokeres mampu tamatkan kemarau gol

Arteta percaya Gyokeres mampu tamatkan kemarau gol

PENGENDALI Arsenal, Mikel Arteta memuji semangat juang dan keazaman tinggi Viktor Gyokeres ketika penyerang itu berusaha memburu gol pertamanya musim ini dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Arteta berkata, Gyokeres tetap menunjukkan komitmen tinggi dalam latihan dan sentiasa berusaha membantu pasukan meskipun belum menemui sentuhan penyudah terbaiknya setakat ini.

Penyerang berusia 28 tahun itu masih belum menjaringkan sebarang gol dalam semua kejohanan musim ini.

Malah, Gyokeres masih belum mendapat peluang beraksi dalam kesebelasan utama Arsenal musim ini apabila Arteta lebih gemar mempertaruhkan pemain antarabangsa Jerman, Kai Havertz di posisi serangan.

Ditanya sama ada ketiadaan gol itu menjejaskan keyakinan Gyokeres menjelang pertemuan menentang Nottingham Forest, Arteta menyifatkan perkara itu sebagai sesuatu yang terlalu peribadi untuk diperkatakan.

“Apa yang ditunjukkannya ialah semangat, keazaman dan kadar kerja yang luar biasa untuk memperbaiki diri serta membantu pasukan.

“Itulah Viktor setiap hari, tanpa mengira kedudukannya, sama ada dia menjaringkan gol atau tidak. Sebab itulah dia sentiasa menjadi pilihan untuk diturunkan,” katanya.

Arteta turut menegaskan Gyokeres sebenarnya kurang bernasib baik kerana belum berjaya membuka akaun jaringannya musim ini.

Menurutnya, penyerang itu sudah beberapa kali berada dalam kedudukan terbaik untuk menjaringkan gol, namun hantaran yang diperlukan tidak sampai kepadanya.

“Kami cuba membantunya sebaik mungkin. Dia mempunyai beberapa detik yang sangat baik.

“Dia sudah tiga atau empat kali berada di depan gawang tanpa penjaga gol, tetapi bola yang sepatutnya sampai kepadanya tidak tiba.

“Perbezaannya sangat kecil. Sama ada menjaringkan gol atau tidak, ia mengubah persepsi terhadap seseorang pemain,” katanya.

Gyokeres sebelum ini meledak 21 gol pada musim sulungnya bersama Arsenal, iaitu pada kempen 2025/26.

Scroll to Top