Ismail Sabri akan didakwa pagi ini

lokman.khairi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, di sini, pagi ini bagi menghadapi pertuduhan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Ismail Sabri, 66, tiba jam 8.30 pagi yang mengenakan kot hitam, ditemani Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Dr Armand Azha Abu Hanifah.

Pertuduhan terhadap Ahli Parlimen Bera itu akan disebut di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Suzana Hussin pada 9 pagi.

Ahli Parlimen Bera itu akan menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 berhubung pengisytiharan harta.

Terdahulu, beliau sempat menyantuni puluhan penyokong yang hadir dari Bera di pekarangan mahkamah.

Ismail Sabri sepatutnya didakwa di mahkamah pada 7 Ogos, namun prosiding ditangguhkan ke 27 Ogos selepas beliau dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) kerana masalah kesihatan.

Suzana menangguhkan pembacaan pertuduhan dan pengambilan pengakuan ke tarikh berkenaan (27 Ogos) selepas Amer Hamzah memohon penangguhan berikutan Ismail Sabri mengalami kemungkinan degupan jantung tidak sekata (possible arrhythmia) dan dijadualkan menjalani prosedur pemasangan perentak jantung (pacemaker procedure).

Sebelum ini, bekas perdana menteri itu dipanggil beberapa kali bagi sesi rakaman percakapan mengenai pengisytiharan harta yang dibuatnya kepada SPRM.

SPRM turut merampas wang tunai RM170 juta dalam pelbagai mata wang asing serta menyita 16 kilogram jongkong emas tulen dianggarkan bernilai RM7 juta berhubung siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram terhadap beliau.

Rampasan dilakukan semasa penggeledahan di kediaman dan pejabat dipercayai dijadikan “rumah selamat” hasil siasatan ke atas empat pegawai kanan Ismail Sabri yang ditahan pada Februari 2025.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top