PM tolak naratif di Laut China Selatan, seru dialog

PM tolak naratif di Laut China Selatan, seru dialog

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak naratif bahawa konflik di Laut China Selatan tidak dapat dielakkan, sambil menekankan bahawa dialog, saling mempercayai dan mematuhi undang-undang antarabangsa kekal sebagai jalan terbaik untuk memelihara keamanan dan kestabilan serantau.

Dalam sesi soal jawab di Meja Bulat Asia Pasifik (APR) ke-39, Anwar berkata, Malaysia mengekalkan hubungan yang membina dengan China walaupun terdapat pertikaian maritim di kawasan itu.

“Saya secara peribadi tidak berkongsi fobia ini tentang potensi ancaman kepada Laut China Selatan. Ya, ada isu, tetapi setakat ini, kedudukan dan pengalaman Malaysia, saya harus katakan, terdapat perbincangan (exchange) yang bermakna dengan China.

“Saya telah bercakap mengenainya dengan Presiden Xi Jinping, dengan Perdana Menteri Li Qiang, tetapi hubungan (antara kedua-dua negara) sangat baik. Tiada persoalan atau isu utama yang akan menyebabkan ketegangan,” katanya pada Khamis.

Perdana Menteri berkata, China telah menyatakan sokongan terhadap Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) dan rundingan berterusan mengenai Tatakelakuan ASEAN-China di Laut China Selatan yang seharusnya terus memandu usaha ke arah penyelesaian pertikaian secara aman.

Anwar juga memberi amaran terhadap naratif luar yang menumpukan secara berlebihan kepada prospek perang di rantau ini, dengan berkata ASEAN mesti terus komited terhadap diplomasi dan penglibatan.

Mengenai ASEAN, beliau berkata, keupayaan kumpulan itu untuk memelihara keamanan selama beberapa dekad disokong oleh hubungan rapat dalam kalangan pemimpinnya, yang kerap berkomunikasi secara langsung untuk menyelesaikan perbezaan sebelum ia meruncing.

Menyentuh isu sempadan Kemboja-Thailand, Anwar menyambut komitmen kedua-dua negara untuk meneruskan rundingan sambil menyatakan banyak pertikaian sempadan di rantau ini ialah warisan sejarah sejak zaman penjajah.

Beliau menyatakan keyakinan bahawa dialog yang berterusan dan saling mempercayai akhirnya akan membantu kedua-dua pihak mencapai penyelesaian secara aman.

Sementara itu, Anwar berkata, Malaysia, bersama-sama ASEAN, akan terus menyokong penambahbaikan institusi multilateral global, termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Pertubuhan Perdagangan Dunia, walaupun berdepan cabaran yang ditimbulkan oleh persaingan kepentingan antara kuasa besar.

Beliau berkata, sesetengah negara terus memperjuangkan demokrasi, keadilan dan kedaulatan undang-undang, namun sering gagal dalam menegakkan prinsip itu secara konsisten apabila kepentingan strategik mereka sendiri tergugat. – Bernama

Scroll to Top