Sanusi Cabar DAP bukti kekuatan, minta Hannah Yeoh, Anthony Loke bertanding di Jeneri

Sanusi Cabar DAP bukti kekuatan, minta Hannah Yeoh, Anthony Loke bertanding di Jeneri

PAS menegaskan strategi pembahagian kerusi pilihan raya yang diamalkan parti itu dibuat berdasarkan realiti demografi pengundi di sesuatu kawasan, bukannya kerana takut untuk berdepan mana-mana parti termasuk DAP.

Faham carak sokongan

Memetik laporan daripada Harian Metro, Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyatakan pendekatan itu telah lama diamalkan dalam politik negara apabila setiap parti memilih untuk bertanding di kawasan yang mempunyai asas sokongan masing-masing.

Menurut beliau, PAS tidak meletakkan calon di kawasan majoriti pengundi bukan Melayu kerana memahami corak sokongan pengundi, sama seperti parti lain yang bertanding di kawasan tertentu.

“Kalau kawasan majoriti Cina, kenapa PAS nak tanding di situ. Kita tahu siapa penyokong kita dan siapa yang tidak menyokong kita. Itu realiti politik.
“Orang PAS tahu siapa pengundi dia, orang DAP pun tahu siapa undi dia. Itu realiti yang sudah lama berlaku dalam politik negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Kedah.

“Suruh DAP mai bertanding di kawasan Melayu”

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah menolak dakwaan PAS gentar berdepan DAP, sebaliknya menyifatkan cabaran sedemikian tidak menggambarkan realiti politik di lapangan.

Beliau turut mencabar pemimpin DAP bertanding di kawasan majoriti Melayu seperti Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri sekiranya mahu membuktikan kekuatan sokongan parti berkenaan.

“Kalau macam tu, suruh DAP mai bertanding di kawasan Melayu. Bagi tau Anthony Loke, pilihan raya akan datang mai bertanding di Jeneri. Kita tengok langit tinggi atau rendah.
“Kalau saya suruh Anthony Loke, Tony Pua atau Hannah Yeoh bertanding di Jeneri, mahu kah? Ini semua realiti politik, bukan soal berani atau tidak,” katanya.
Muhammad Sanusi berkata, pembahagian kerusi di Malaysia lazimnya dibuat mengikut komposisi kaum dan sejarah politik setempat yang menjadi asas kepada strategi setiap parti dalam menghadapi pilihan raya.

Semalam, media melaporkan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke mendakwa PAS gentar untuk bersemuka dengan parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, sebaliknya memilih bergantung kepada ‘proksi’, Barisan Nasional (BN).

Anthony menyatakan keputusan PAS tidak meletakkan calon di kawasan yang ditandingi DAP merupakan sebahagian daripada strategi menyatukan undi bagi calon BN, khususnya daripada MCA.

Beliau turut mendakwa PAS tidak berprinsip apabila menggesa penyokongnya menyokong BN di kerusi yang tidak ditandingi Perikatan Nasional (PN).

Sumber: Harian Metro (Noorazura Abdul Rahman)

Scroll to Top