Labuan: Operasi di Lapangan Terbang Labuan terjejas hari ini susulan penemuan sebutir bom lama kira-kira 200 meter dari landasan di kawasan milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berhampiran Kerupang.
Bom dipercayai tinggalan Perang Dunia Kedua itu ditemukan pada 3.45 petang dan sebelum ini, beberapa bom lama turut ditemukan di lokasi sama pada 26 Jun lalu.
Ketua Polis Labuan Superintendan Wan Mohd Firdaus Wan Zaki berkata kerja-kerja mengalihkan bom berkenaan untuk tujuan pemusnahan sedang dijalankan oleh pihak polis dengan kerjasama anggota TUDM.
“Orang ramai dinasihatkan supaya bertenang kerana keadaan semasa adalah terkawal dan pasukan pemusnah bom sedang menjalankan proses mengalihkan bahan letupan itu,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata orang ramai juga diingatkan supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sah atau palsu yang boleh mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.
Sementara itu, penemuan bahan letupan tersebut menyebabkan beberapa penerbangan ke Kuala Lumpur, Kota Kinabalu dan Miri mengalami kelewatan manakala penerbangan dari Kuala Lumpur ke Labuan dilencongkan ke Miri.
Operasi lapangan terbang dijangka pulih selepas 8 malam sebaik sahaja kawasan itu disahkan selamat oleh pihak berkuasa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




