hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Petaling Jaya: Dua lelaki warga asing ditahan di Jalan Teknologi, Kota Damansara di sini, hari ini selepas memandu secara agresif dan berbahaya sejauh 15 kilometer (km) ketika dikejar polis.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 12.16 tengah malam tadi.
Katanya, kejadian membabitkan sebuah kereta peronda polis mengejar Honda Jazz dinaiki suspek di Bulatan Jalan Airport Subang menghala ke Sungai Buloh.
“Suspek memandu secara agresif dan berbahaya sejauh 15 km sebelum berjaya ditahan.
“Dua lelaki warga asing itu berusia 20-an ditahan di lokasi, manakala dua suspek lain berjaya melarikan diri.
“Hasil ujian awal saringan air kencing yang dijalankan mendapati seorang suspek yang ditahan positif THC,” katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana memandu secara melulu atau gopoh dan berbahaya.
“Dua suspek berkenaan direman selama dua hari sehingga esok untuk membantu siasatan lanjut, manakala dua suspek yang masih bebas sedang giat dikesan,” katanya.
Shamsudin berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan maklumat tidak tepat dalam media sosial dan tidak membuat sebarang spekulasi tidak benar berhubung insiden itu.
Katanya, saksi yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan juga diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03-79662222 bagi membantu siasatan kes berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




