Pengundi luar Johor perlu pulang mengundi, pastikan kestabilan negara – Fahmi

Pengundi luar Johor perlu pulang mengundi, pastikan kestabilan negara – Fahmi

MUAR – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menyeru pengundi Johor yang tinggal dan bekerja di luar negeri itu supaya pulang menunaikan tanggungjawab masing-masing pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16, 11 Julai ini.

Fahmi yang juga Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH) berkata, PRN kali ini amat penting bagi memastikan kestabilan negara terus terpelihara menerusi penyelarasan antara pentadbiran kerajaan negeri dan Persekutuan.

“Pilihan raya (negeri) ini sangat penting kerana kita mahu kerajaan negeri yang baik, yang boleh bekerja sama dengan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim).

“Dalam tempoh tiga tahun ini, Perdana Menteri buat macam-macam untuk Johor, Kerajaan Persekutuan bagi kepada Johor lebih tinggi daripada yang diterima oleh Selangor dan negeri-negeri lain… lebih dari itu, kejayaan Johor adalah kerana Kerajaan Persekutuan yang stabil,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam amal di sini malam ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Albert Tei mahu lawan Anthony Loke di PRN Negeri Sembilan

‘Jangan terkejut apa PH akan tawarkan kepada rakyat Johor’

PH kini antagonis nombor satu PRN Johor?

PH tawar agenda pembangunan mampan, gilap potensi Johor – Amirudin

PKR serah senarai calon bagi PRN Negeri Sembilan – Aminuddin

Nak bertanding di Negeri Sembilan, Anthony ingatkan Albert tukar alamat dahulu

Hadir sama, Setiausaha Agung DAP yang juga Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook; Pengarah Jentera PRN Johor PH, Datuk Seri Amirudin Shari dan beberapa calon PH yang bertanding di sekitar Muar.

Dalam pada itu, Fahmi berharap agar pengundi memberi peluang kepada calon-calon PH yang bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Kita mahu calon-calon PH diberi peluang untuk berkhidmat dengan baik (pada penggal ini)… kawan-kawan yang lama tak dapat berkhidmat dengan baik sebab ada tebuk atap (pertukaran kerajaan)… tapi ke depan kita mahu stabil, kita mahu orang yang boleh bekerja dengan Perdana Menteri, kita mahu pelaburan masuk,” katanya.

Beliau turut memberi jaminan bahawa PH akan melaksanakan kempen secara bersih meskipun berdepan pelbagai provokasi daripada pihak lawan.

“Ada orang guna macam-macam muslihat, menipu, menakut-nakutkan kita… tapi jangan takut, kita mesti berani (kerana) kita mesti mahukan masa depan yang lebih baik bersama PH,” katanya.

PRN Johor menyaksikan seramai 172 calon bertanding merebut 56 kerusi DUN dengan hari pengundian ditetapkan pada 11 Julai ini manakala undi awal pada 7 Julai. – Bernama

 

 

Scroll to Top