hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Bangi: Seorang pekerja wanita warga Indonesia mengalami sesak nafas selepas kedai makan ayam gepuk tempatnya bekerja terbakar di Seksyen 7, Bandar Baru Bangi, di sini, malam ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 7.54 malam.
Katanya, susulan itu sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bangi digerakkan ke lokasi dengan turut dibantu BBP Semenyih dan BBP Seri Kembangan.
“Kejadian membabitkan sebuah kedai bangunan dua tingkat kelas A dengan kebakaran berlaku di aras bawah premis berkenaan yang terbakar 70 peratus.
“Terdapat seorang wanita warga Indonesia berusia 26 tahun yang juga pekerja kedai mengalami sesak nafas dan diberi rawatan awal oleh pasukan perubatan Klinik Kesihatan Bangi,” katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.
Beliau berkata, operasi pemadaman masih dijalankan oleh anggota bertugas membabitkan 23 anggota bersama lima jentera.
© New Straits Times Press (M) Bhd




