Lebih 800 kematian berkaitan haba direkodkan di Jerman tahun ini

Lebih 800 kematian berkaitan haba direkodkan di Jerman tahun ini

Berlin: Lebih 800 kematian berkaitan haba direkodkan di Jerman setakat tahun ini, tidak termasuk tempoh paling teruk gelombang haba yang sedang melanda negara itu, menurut institut kawalan dan pencegahan penyakit Jerman, Institut Robert Koch (RKI), pada Khamis, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Berdasarkan anggaran RKI, kira-kira 500 individu berusia 85 tahun ke atas meninggal dunia akibat haba sehingga 21 Jun. Bagi kumpulan umur 75 hingga 84 tahun, jumlah kematian dianggarkan kira-kira 190 orang manakala bagi mereka yang berusia 65 hingga 74 tahun dianggarkan 80 orang dan kira-kira 40 orang bagi individu berusia bawah 65 tahun.

Menurut laporan mingguan RKI mengenai kematian berkaitan haba, kadar kematian lazimnya meningkat dengan ketara pada minggu musim panas yang mencatat suhu purata melebihi 20 darjah Celsius berbanding minggu musim panas yang lebih sejuk.

RKI memaklumkan purata suhu siang dan malam bagi minggu 15 hingga 21 Jun ialah 21.1 darjah Celsius, iaitu melebihi ambang suhu yang dijangka menyebabkan peningkatan ketara dalam kadar kematian berkaitan haba.

Anggaran semasa RKI meliputi tempoh dari 6 April hingga 21 Jun. Gelombang haba ekstrem di Jerman hanya mula melanda seluruh negara beberapa hari selepas tempoh itu dan data awal mengenai kematian berkaitan haba bagi tempoh berkenaan akan dibentangkan minggu depan.

“Dalam sesetengah kes, seperti strok haba, pendedahan kepada haba secara langsung menyebabkan kematian. Namun, dalam kebanyakan kes, kematian berlaku akibat gabungan pendedahan kepada haba dan keadaan kesihatan sedia ada,” menurut RKI.

Atas sebab itu, haba lazimnya tidak disenaraikan sebagai punca utama kematian dalam sijil kematian. Sebaliknya, jumlah kematian berkaitan haba dianggarkan menggunakan kaedah statistik.

Analisis itu berdasarkan data kematian daripada Pejabat Perangkaan Persekutuan serta data suhu udara daripada 52 stesen cuaca yang dikendalikan oleh Perkhidmatan Cuaca Jerman (DWD), yang dipuratakan mengikut negeri persekutuan. Angka bagi sembilan minggu terakhir masih boleh berubah berikutan laporan lewat, menurut RKI.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top