Kerajaan tawar diskaun 10 peratus pembelian rumah sempena AREC 2026

Kerajaan tawar diskaun 10 peratus pembelian rumah sempena AREC 2026

Kuala Lumpur: Kerajaan menawarkan diskaun 10 peratus kepada pembeli rumah sempena Persidangan Hartanah ASEAN (AREC) 2026 yang akan berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) dari 29 Julai hingga 1 Ogos ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata inisiatif yang diperkenalkan menerusi kerjasama kementerian dengan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) itu bertujuan membantu meringankan beban pembeli, khususnya bagi pembayaran deposit 10 peratus yang ditetapkan di bawah Perjanjian Jual Beli (SPA).

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual merasmikan persidangan empat hari itu yang merangkumi forum, sesi padanan perniagaan dan pameran, yang dijangka menjana transaksi bernilai RM1.5 bilion.

“Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) turut memperkenalkan inisiatif Simen Rahmah bagi membantu industri menangani peningkatan kos pembinaan dengan menyediakan 1.6 juta tan metrik simen untuk kegunaan pemaju dalam pembinaan rumah mampu milik.

“Ini supaya kita berjaya kekalkan harga (rumah) di peringkat yang mampu milik, bukan mampu mimpi, tapi mampu milik.

“Itu sangat penting kerana slogan kita memang “Rumahku, Syurgaku.” Kita mahu rakyat Malaysia berhak memiliki kediaman yang berkualiti, ini hasrat kita,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penghargaan Kecemerlangan Pemaju Hartanah sempena FIABCI World Prix D’Excellence Awards 2026, di sini hari ini.

Mengenai pencapaian pemaju hartanah tempatan pada majlis itu, Nga berkata Malaysia muncul juara keseluruhan apabila meraih 14 anugerah terdiri daripada lapan pingat emas dan enam pingat perak dalam pelbagai kategori.

Antara penerima pingat emas ialah Park Regent @ Desa ParkCity bagi kategori Residential (High Rise); The Mansions @ ParkCity Hanoi bagi kategori Residential (Low Rise); Menara Merdeka 118 bagi kategori pejabat terbaik dan pembangunan mampan dan Elmina Lakeside Mall bagi kategori retail; Sunway Velocity Two (Phase 1) bagi kategori mixed-use development; Gamuda Gardens bagi kategori Master Plan; dan Diamond Precinct, Vietnam bagi kategori Residential (Mid Rise).

Menurut Nga, pencapaian itu membuktikan pemaju hartanah Malaysia bukan sahaja mampu bersaing di peringkat antarabangsa, malah berjaya menetapkan penanda aras bertaraf dunia dengan Malaysia meraih 135 pingat emas di peringkat dunia sejak anugerah itu diperkenalkan pada 1992.

Katanya, kejayaan itu turut menghantar mesej kepada masyarakat antarabangsa bahawa Malaysia sedia untuk menyerlah di persada dunia.

“​Ini sudah tentunya merupakan satu pemangkin keyakinan dunia terhadap pemain-pemain industri di Malaysia.

“Atas sebab itu kita mula lihat syarikat-syarikat Malaysia termasuk ParkCity Group telah berjaya bertapak di Vietnam, SP Setia bertapak di Australia, OSK Property bertapak di Melbourne dan EcoWorld bertapak di London.

“Inilah hasrat kerajaan Malaysia supaya syarikat-syarikat kita bukan saja jaguh kampung, tetapi jaguh dunia,” katanya menambah Perdana Menteri turut dijadual melancarkan Dasar Perumahan Negara pada 30 Julai ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top