BUDI Diesel: Pemilik kenderaan tidak perlu tukar hak milik bagi subsidi dinikmati pengguna sebenar

BUDI Diesel: Pemilik kenderaan tidak perlu tukar hak milik bagi subsidi dinikmati pengguna sebenar

razis@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pemilik kenderaan diesel yang berdaftar atas nama sendiri tetapi digunakan ahli keluarga tidak perlu menukar hak milik kenderaan bagi membolehkan subsidi diesel dinikmati pengguna sebenar.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Dr Fuziah Salleh menerusi hantaran di Facebooknya berkata, pemilik hanya perlu memindahkan kelayakan BUDI Diesel kepada pengguna sebenar menerusi portal BUDI MADANI, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.

Katanya, masih ramai yang belum mengetahui kaedah pemindahan kelayakan BUDI Diesel kepada ahli keluarga.

“Sebagai contoh, jika kenderaan diesel masih didaftarkan atas nama seorang ibu tetapi digunakan setiap hari oleh seorang anak, ibu tersebut boleh memindahkan kelayakan BUDI Diesel kepada anaknya.

“Pindahan ini hanya dibenarkan sekali dan kepada seorang penerima sahaja,” katanya.

Mengulas lanjut, Fuziah berkata, bagi mereka yang ingin menukar nama pemilik kenderaan pula, kerajaan turut memberikan pengecualian fi Tukar Hak Milik (THM) selama tiga bulan.

“Ia bagi memudahkan urusan mengemas kini rekod pemilikan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)

“Langkah ini diperkenalkan bagi memastikan subsidi diesel benar-benar dinikmati oleh pengguna sebenar, sekali gus mengurangkan ketirisan dan penyalahgunaan,” katanya.

Pada masa sama, Fuziah turut mengingatkan kelayakan asas BUDI Diesel ialah 200 liter sebulan.

“Bagi pemilik pikap atau jip persendirian yang layak, mereka boleh memohon tambahan 100 liter, menjadikan jumlah keseluruhan 300 liter sebulan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top