Manchester: Legenda Manchester United, Roy Keane menjangkakan kemaraan England pada Piala Dunia akan berakhir di peringkat suku akhir biarpun skuad kendalian Thomas Tuchel mencipta kebangkitan dramatik menewaskan Republik Demokratik Congo (DR Congo) untuk mara ke pusingan 16 terbaik.
England bangkit daripada ketinggalan apabila Harry Kane meledak dua gol dalam tempoh 15 minit terakhir bagi memastikan kemenangan selepas mereka dikejutkan dengan gol awal DR Congo seawal minit ketujuh.
Kemenangan itu menyaksikan Three Lions bakal berdepan Mexico di Stadium Azteca, Mexico City, pagi Isnin ini, dengan tuan rumah dijangka memiliki kelebihan beraksi pada altitud 2,240 meter dari aras laut.
Tuchel sendiri mengakui faktor altitud sukar diatasi dalam tempoh singkat sekali gus memberikan sedikit kelebihan kepada Mexico.
Bagaimanapun, Keane yakin pengalaman dan kualiti dimiliki Kane serta Jude Bellingham mampu membantu England melepasi cabaran Mexico.
Namun, bekas kapten Republik Ireland itu percaya England akan berdepan tugas jauh lebih sukar sekiranya bertemu Brazil atau Argentina di suku akhir.
“Sewaktu menentang DR Congo, saya sudah menjangkakan England akan menang. Apabila anda memiliki pemain seperti Harry Kane, dia sentiasa mampu menyelamatkan pasukan.
“Saya fikir mereka boleh menewaskan Mexico, tetapi jika bertemu Brazil atau Argentina, di situlah masalah sebenar akan bermula.
“Jika mereka terus mempamerkan prestasi seperti ini, mereka akan berdepan kesukaran menentang pasukan-pasukan itu.
“Saya tidak fikir England memerlukan banyak lagi peningkatan. Sebab itu saya menjangkakan mereka hanya mampu mara sehingga suku akhir.
“Mereka mempunyai beberapa pemain bertaraf dunia, tetapi kualiti individu hanya mampu membawa pasukan sehingga satu tahap sahaja,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




