London: Vokalis kumpulan Oasis, Liam Gallagher, menyeru penyokong England supaya terus menjadikan lagu ikonik ‘Wonderwall’ sebagai pembakar semangat skuad kebangsaan sepanjang kempen Piala Dunia 2026.
Lagu yang diterbitkan pada 1995 itu semakin sinonim dengan skuad Three Lions selepas pemain dan penyokong menyanyikannya bersama-sama sejurus tamat perlawanan ketika kempen Piala Dunia di Amerika Syarikat.
Tradisi itu bermula selepas kemenangan England ke atas Croatia pada aksi pembukaan sebelum diulangi lagi susulan kebangkitan menewaskan Republik Demokratik Congo 2-1 pada pusingan 32 terbaik.
Gallagher kemudian memuat naik mesej di platform X yang menggesa penyokong terus menghidupkan suasana itu.
“Teruskan getaran luar biasa itu. Jika kerajaan yang kita pilih tidak mampu membawanya, maka rakyat yang perlu melakukannya. Ayuh England,” tulisnya.
Apabila seorang peminat memberitahu bahawa dia pasti gembira melihat kemenangan England, penyanyi berusia 53 tahun itu berkata, negara itu memerlukan sesuatu yang mampu menyatukan rakyat.
“Saya gembira. Negara ini perlukan getaran positif. Hidup sepatutnya indah, bukannya menyedihkan,” katanya.
Fenomena Wonderwall turut mendapat sokongan abang Liam, Noel Gallagher, yang sebelum ini menyifatkan lagu berkenaan kini ‘milik rakyat’ selepas menjadi simbol hubungan erat antara pemain dan penyokong England sepanjang kejohanan.
England kini bersiap sedia menghadapi Mexico pada pusingan 16 terbaik sambil membawa bersama keyakinan bahawa lagu ikonik Oasis itu mampu terus meniup semangat pasukan dalam usaha menamatkan kemarau kejuaraan Piala Dunia sejak 1966.
© New Straits Times Press (M) Bhd




