El Nino dijangka ‘mengganas’

El Nino dijangka ‘mengganas’

GENEVA – El Nino dijangka berkembang dengan pantas menjadi fenomena lebih kuat antara Julai dan September depan, sekali gus meningkatkan risiko berlakunya kejadian cuaca ekstrem.

Amaran itu diberikan Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) pada Jumaat menerusi kemas kini bulanan Iklim Bermusim Global ketika ia menggesa negara seluruh dunia supaya bersiap sedia menghadapi impaknya.

Agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu mengklasifikasikan El Nino kepada lemah, sederhana, kuat dan sangat kuat, Ancaman terbaharu itu berada pada tahap ketiga tertinggi daripada empat kategori tersebut.

“Keadaan El Nino telah terbentuk di kawasan tropika Pasifik dan tahap intensitinya dijangka meningkat dalam beberapa bulan akan datang.

“Ramalan daripada pusat-pusat iklim utama dunia menggunakan pelbagai model menunjukkan pemanasan ketara dan konsisten suhu laut di kawasan tengah dan timur khatulistiwa Pasifik. Purata suhu permukaan laut bermusim dijangka meningkat lebih dua darjah Celsius di lokasi pemantauan utama,” menurut kenyataan WMO.

Jelasnya, El Nino dijangka terus memuncak ketika musim luruh Hemisfera Utara dan ia akan mempengaruhi corak cuaca di seluruh dunia serta menyebabkan lembangan Atlantik khatulistiwa kekal lebih panas berbanding purata.

WMO bagaimanapun menyatakan tiada bukti menunjukkan perubahan iklim meningkatkan kekerapan atau tahap intensiti fenomena El Nino.

Fenomena iklim semula jadi yang berlawanan dengan La Nina ini menyebabkan pemanasan suhu permukaan di bahagian tengah dan timur Lautan Pasifik khatulistiwa serta mengubah corak angin, tekanan dan taburan hujan di seluruh dunia. Ia biasanya berlaku setiap dua hingga tujuh tahun dan berlanjutan kira-kira sembilan hingga 12 bulan.

2023 pernah direkodkan sebagai tahun kedua paling panas dan 2024 sebagai tahun paling panas setakat ini dengan suhu sekitar 1.55 darjah Celsius melebihi purata praindustri 1850–1900. – AFP

 

Scroll to Top