KULAI – Pelancaran Manifesto Pakatan Harapan (PH) sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada hari keenam kempen sebagai langkah yang tepat pada masanya selepas mengambil tempoh untuk memperhalusi keperluan serta kehendak rakyat di negeri itu.
Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang berkata, manifesto berkenaan tidak diumumkan lebih awal kerana gabungan itu memerlukan masa untuk menjalankan kajian susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang berlaku secara mengejut.
ARTIKEL BERKAITAN: Manifesto PH: Kurangkan 50 peratus masa menunggu di sempadan Johor-Singapura
Manifesto PH: Bonus RM1,000 kepada bayi antara lima Inisiatif Pencetus Perubahan Johor
PH mahu Johor jadi kuasa ekonomi sendiri, bukan lagi ‘feeder’ Singapura
Menurut beliau, keadaan itu menyebabkan PH perlu meneliti setiap tawaran agar benar-benar bersesuaian dengan isu yang dihadapi rakyat Johor.
“Ada parti yang langsung tidak mempunyai manifesto. Antara sebab kita lewat mengumumkannya adalah kerana DUN Johor dibubarkan secara tergesa-gesa. Kita perlukan masa untuk membuat kajian sebelum melancarkan manifesto.
“Hari ini manifesto dilancarkan di tengah-tengah tempoh berkempen dan saya fikir inilah masa yang paling sesuai,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Manifesto DUN Bukit Batu di Bilik Gerakan Utama DUN Bukit Batu, Taman Impiana, Kelapa Sawit di sini pada Jumaat.
Turut hadir calon PH DUN Bukit Batu, Arthur Chiong Sen Sern.
Lih Kang berkata, manifesto DUN Bukit Batu menggariskan ‘7 Tekad Untuk Bukit Batu’ yang memberi fokus kepada penyelesaian pelbagai isu dan keperluan penduduk setempat.
Beliau menjelaskan, bukan semua DUN yang ditandingi PKR pada PRN Johor mempunyai manifesto tersendiri, sebaliknya ia bergantung kepada inisiatif cabang masing-masing.
Selain Bukit Batu beliau berkata, DUN Skudai dan Perling turut melancarkan manifesto khusus bagi kawasan masing-masing.
Terdahulu, PH melancarkan manifesto PRN Johor bertemakan ‘Johor Untuk Semua’ yang mengandungi 10 tawaran utama meliputi aspek kos sara hidup, pemilikan rumah, peluang pekerjaan, pendidikan, kesihatan dan pembangunan ekonomi negeri.
Manifesto yang menawarkan pelbagai inisiatif itu dilihat mampu meningkatkan taraf hidup rakyat serta memperkukuh kedudukan Johor sebagai antara pemacu utama ekonomi negara.



