SPRM, NFCC ikrar perkukuh kerjasama banteras jenayah kewangan

SPRM, NFCC ikrar perkukuh kerjasama banteras jenayah kewangan

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Perkongsian data, kepakaran serta penggunaan teknologi analitik antara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) diperkukuh bagi meningkatkan keberkesanan membanteras jenayah kewangan di negara ini.

Ketua Pengarah NFCC, Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil berkata, antara fungsi utama NFCC ialah melaksanakan aktiviti risikan menerusi sistem data berpusat, selain memperkukuh aspek penguatkuasaan dan pencegahan jenayah kewangan secara menyeluruh.

Menurutnya, penguatkuasaan itu meliputi jenayah penipuan, rasuah, pengedaran dadah, jenayah terancang, penyeludupan serta jenayah berkaitan alam sekitar.

“Pendekatan ‘whole of government’ yang dilaksanakan mampu memperkukuhkan keupayaan agensi penguat kuasa dalam menangani jenayah kewangan secara lebih berkesan menerusi konsep perkongsian perkhidmatan.

“NFCC turut memperoleh dan mengendalikan pelbagai alat analitik berteknologi tinggi yang bernilai tinggi untuk dimanfaatkan oleh semua agensi penguat kuasa dalam memperkukuh aktiviti risikan, siasatan dan penguatkuasaan,” katanya.

Terdahulu, Shamshun Baharin mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya, hari ini.

Shamshun Baharin menyampaikan taklimat mengenai latar belakang penubuhan, mandat serta fungsi NFCC sebagai agensi penyelaras dalam usaha membanteras jenayah kewangan negara.

Sehubungan itu, beliau turut mengalu-alukan kerjasama SPRM dalam mendapatkan dan berkongsi data melalui pelaksanaan operasi bersepadu antara agensi.

Abd Halim pula menyambut baik jalinan kerjasama antara SPRM dan NFCC, malah berpandangan hubungan strategik sedia ada perlu terus diperkasakan demi meningkatkan keberkesanan tindakan penguatkuasaan serta pencegahan jenayah kewangan di negara ini.

“SPRM komited untuk terus bekerjasama dengan NFCC dalam memperkukuhkan perkongsian maklumat serta memanfaatkan keupayaan analitik yang dimiliki demi meningkatkan keberkesanan tindakan penguatkuasaan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top