mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Selangor: Ingin bertahan ketika bekerja dan mengejar trip. Itu alasan tiga pemandu kenderaan perdagangan yang ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam Operasi Bersepadu Sekatan Jalan Raya (SJR) Tahun 2026 di Hentian Sebelah Plaza Tol Assam Jawa, di sini, semalam.
Pengarah AADK Negeri Selangor, Nazir Mohamad berkata, operasi itu diadakan bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memeriksa 11 pemandu yang diadakan saringan air kencing.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati tiga lelaki berusia 37, 51 dan 52 tahun positif dadah methamphetamine dan morfin.
“Malah salah seorang daripada mereka yang berusia 52 tahun itu turut dikesan positif kedua-dua dadah methamphetamine dan morfin.
“Mereka yang didapati positif dadah diambil tindakan selanjutnya oleh pihak AADK mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, pemandu terbabit memberi alasan ketahanan bekerja bagi mengejar trip yang banyak untuk mendapat pendapatan lebih menyebabkan mereka mengambil dadah.
“Operasi seumpama ini akan terus diperkasakan dari semasa ke semasa sebagai usaha membanteras penyalahgunaan dadah, meningkatkan keselamatan masyarakat serta memastikan persekitaran yang lebih selamat dan bebas daripada ancaman dadah,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




