am@hmetro.com.my
Johor Bharu: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan pemimpin Pakatan Harapan (PH) tidak perlu menjaja naratif meminta rakyat negeri ini memilih kerajaan Johor yang selari dengan kerajaan pusat.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) sebaliknya menjelaskan, hakikatnya kerajaan Johor sebelum ini ditadbir oleh parti yang sudah pun berada dalam kerajaan di peringkat nasional.
“Jadi bila sampai ke pilihan raya di negeri Johor ini, (pemimpin PH kata) oh.. kerajaan yang ada mesti sama dengan kerajaan di Putrajaya. Samalah itu,” katanya berucap pada Program Himpunan Anak Muda Tiram, di sini, malam ini.
Turut sama hadir pada program itu, calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram, Datuk Abdul Halim Suleiman serta bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid mengingatkan pemimpin PH tidak lupa akan keputusan besar diambil BN untuk bersetuju membentuk Kerajaan Perpaduan, sekali gus membolehkan PH menjadi sebahagian kerajaan persekutuan.
“Ingat, nak membentuk kerajaan perpaduan ini daripada titah Tuanku Agong yang lalu, mereka cuma ada 82 kerusi (Parlimen).
“Kita cuma ada 30 kerusi. Nak menjadi Perdana Menteri mesti ada 112 kerusi, 82 tak boleh jadi Perdana Menteri, nak membentuk kerajaan.
“Jadi, yang 30 (Ahli Parlimen BN) inilah yang mencukupkan 112 (sokongan Ahli Parlimen) untuk jadi kerajaan perpaduan jadi Perdana Menteri. Saya harap itu tidak dilupakan.
“Bukan kita mahu riak, bukan kita mahu takbur, bukan kita mahu sombong. Tetapi hakikatnya, yang 30 (Ahli Parlimen BN) itulah membolehkan untuk seseorang itu menjadi Perdana Menteri dan kerajaan perpaduan bermula di bumi Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, biarpun kuasa melantik Menteri Besar di bawah Sultan Johor, namun yakin Datuk Onn Hafiz Ghazi adalah calon terbaik yang dinamakan BN.
“Undang-undang tubuh Johor memperlihatkan kuasa untuk melantik Menteri Besar itu adalah di bawah kuasa tuanku.
“Biarpun pengerusi parti gabungan yang terbesar (menang) itu boleh mencalonkan seseorang, jelas bahawa keputusan istana itu tidak pernah silap.
“Kita tidak pernah terbayang pun ketika itu yang Onn Hafiz adalah ‘poster boy’ kita. Tetapi kemenangan 40 kerusi (DUN) pada PRN lalu, maka biarpun saya ‘order’ barang lain, barang lain sampai, tapi jelas barang yang sampai itu adalah barang yang baik, yang dipilih oleh tuanku berdua dan istana,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




