Potongan 'hexa' jadi kegilaan di Brazil

Potongan 'hexa' jadi kegilaan di Brazil

Resende: Di Resende dekat Rio de Janeiro, Brazil, demam Piala Dunia benar-benar ‘naik ke kepala’ apabila seorang tukang gunting menghasilkan potongan rambut unik bercorak bendera Brazil.

Tukang gunting, Washington Santos, 27, mencipta gaya dikenali sebagai ‘Hexa Cut’ bagi meraikan misi Brazil memburu gelaran Piala Dunia keenam atau ‘hexa’ dalam bahasa Portugis.

Potongan rambut itu kini menjadi kegilaan penyokong tempatan yang mahu menunjukkan keyakinan terhadap kemampuan skuad kebangsaan menjulang trofi.

Santos mula memperkenalkan rekaan itu ketika Piala Dunia 2022 selepas video hasil kerjanya tular di media sosial.

Bagi edisi kali ini, dia menghidupkan semula gaya berkenaan dan sudah menghasilkan corak bendera Brazil pada rambut kira-kira 30 pelanggan, kebanyakannya kanak-kanak serta remaja.

“Saya mahu menghasilkan sesuatu yang berbeza,” katanya.

Proses menghasilkan ‘Hexa Cut’ bermula dengan menggunting rambut sebelum melunturkan warnanya sehingga menjadi putih.

Santos kemudian menggunakan templat buatan sendiri bagi membentuk corak bendera sebelum mewarnakan bulatan biru, berlian kuning dan latar hijau, manakala sentuhan akhir dilakukan secara manual.

Dia menceburi bidang gunting rambut lebih sedekad lalu selepas diajak seorang rakan mengikuti kursus di sebuah persatuan penduduk setempat.

Kini, dia menerima kira-kira lima pelanggan setiap minggu yang meminta gaya berkenaan, dengan jumlah itu meningkat setiap kali Brazil bakal beraksi.

Selain corak bendera Brazil, Santos turut menawarkan pelbagai rekaan lain termasuk bendera negara lain, corak sarang labah-labah serta warna kelab bola sepak.

Seorang penyokong, Gleizyane de Souza, 27, yang mengunjungi kedai gunting itu minggu ini percaya potongan rambut berkenaan mampu membakar semangat Brazil untuk menamatkan penantian menjulang gelaran dunia keenam.

“Kami sudah melakukan bahagian kami. Kini terpulang kepada pemain pula untuk melakukan tugas mereka,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top