Tiket England-Mexico dijual semula harga kayangan

Tiket England-Mexico dijual semula harga kayangan

London: Tiket yang asalnya dibeli penyokong England untuk aksi pusingan 16 terbaik Piala Dunia menentang Mexico, Isnin ini, dijual semula pada harga mencecah ribuan pound sterling menerusi portal jualan semula rasmi Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sehingga mengundang kecaman kumpulan penyokong.

Persatuan Bolasepak England (FA) mengesahkan tiket itu pada asalnya diperoleh ahli England Supporters’ Travel Club menerusi cabutan undi yang diadakan pada Disember lalu.

Tiket bagi perlawanan di Stadium Azteca itu layak dijual semula selepas England mengesahkan kemaraan ke pusingan 16 terbaik hasil kemenangan 2-1 ke atas Republik Demokratik Congo.

Persatuan Penyokong Bola Sepak (FSA) mengecam keras harga jualan semula yang disifatkan terlalu melampau.

“FIFA sengaja mewujudkan sistem jualan semula dalam talian yang membolehkan tiket dijual pada harga jauh lebih tinggi, manakala badan induk bola sepak dunia itu turut mengambil komisen sebanyak 15 peratus daripada pembeli dan penjual.

“Walaupun kami sejak awal mengkritik FIFA kerana membebankan penyokong pada Piala Dunia kali ini, kami juga tidak boleh mempertahankan penyokong yang memilih menjual semula tiket mereka pada harga tidak masuk akal,” menurut kenyataan FSA kepada BBC.

Dalam pada itu, FIFA mempertahankan sistem berkenaan.

Menurut badan induk bola sepak dunia itu, pendekatan harga berubah-ubah adalah selari dengan amalan semasa dalam pelbagai acara sukan dan hiburan.

“Harga tiket diselaraskan mengikut permintaan bagi mengoptimumkan jualan dan kehadiran penonton, sekali gus memastikan nilai pasaran yang adil untuk setiap acara,” kata FIFA.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top