Tidak tampil nama calon MB, PH hormat peranan istana – Maszlee Malik

Tidak tampil nama calon MB, PH hormat peranan istana – Maszlee Malik

ISKANDAR PUTERI – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik menegaskan, keputusan gabungan itu untuk tidak menamakan calon Menteri Besar sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke 16 dibuat atas dasar menghormati peranan Institusi Diraja.

Katanya, parti itu tidak mahu mendahului kuasa pihak istana dalam menentukan pelantikan Menteri Besar selepas pilihan raya.

“Sebaliknya kami menawarkan barisan calon yang berkeupayaan untuk mentadbir negeri secara kolektif.

“Ini satu kumpulan yang mempunyai kredibiliti, mewakili rakyat daripada rakyat, dan yang paling penting konsultasi kepada rakyat dalam membuat keputusan.

“Siapa yang akan menjadi Menteri Besar? Itu diputuskan oleh istana. Dan itulah dalam konsep politik baru ialah kita mewakili rakyat. Kita membawa suara rakyat dan dalam apa pelaksanaan, kita bersama-sama menyelesaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam temu bual bersama Sinar Harian selepas Program Maszlee Malik vs 41 anak muda di Plato Cafe Medini, di sini pada Jumaat malam.

Maszlee yang juga Naib Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor berkata, pengalaman lalu turut menunjukkan bahawa calon yang diumumkan sebelum pilihan raya tidak semestinya menjadi Menteri Besar.

Tambahnya, Barisan Nasional (BN) sebelum ini pernah menampilkan Datuk Hasni Mohammad sebagai poster boy, namun akhirnya jawatan Menteri Besar disandang oleh Datuk Onn Hafiz Ghazi.

“PH memilih untuk mengetengahkan pasukan calon terbaik yang mampu memikul amanah mentadbir negeri demi kepentingan rakyat, berbanding bergantung kepada seorang individu semata-mata.

“Mesej utama yang ingin disampaikan ialah kepimpinan kolektif, bukannya memberi tumpuan kepada seorang tokoh sebagai calon Menteri Besar.

Mengulas mengenai pencapaian ekonomi Johor yang mencatatkan pertumbuhan 8.0 peratus bernilai RM171 bilion, Maszlee berkata, prestasi tersebut tidak seharusnya dinilai berdasarkan angka pertumbuhan semata-mata.

Sebaliknya, beliau menegaskan ukuran sebenar kejayaan ekonomi ialah sejauh mana manfaatnya dapat dirasai oleh rakyat menerusi peningkatan pendapatan serta pengurangan kadar kemiskinan.

“Pertumbuhan ekonomi perlu dilihat bersama pendapatan per kapita. Adakah pendapatan rakyat Johor setanding dengan Selangor atau Wilayah Persekutuan? Jawapannya belum.

“Kita juga perlu melihat kadar kemiskinan dan kemiskinan tegar. Johor masih mempunyai kadar kemiskinan yang perlu diberi perhatian. Sebab itu ekonomi perlu dilihat secara holistik dan bukan sekadar daripada sudut angka atau pertumbuhan makro,” katanya.

Mengulas cadangannya untuk menarik rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura kembali bekerja di Johor, Maszlee menegaskan usaha itu bukan sesuatu yang mustahil atau sekadar retorik politik.

Ujarnya, pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) merupakan antara langkah strategik yang mampu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berpendapatan tinggi di negeri ini.

“Inisiatif tersebut juga sejajar dengan usaha kerajaan Persekutuan melalui kerjasama Malaysia dan Singapura bagi menarik kemasukan industri berteknologi tinggi ke Johor.

“JS-SEZ merupakan sebahagian daripada usaha untuk membawa industri berkualiti tinggi yang menawarkan gaji lebih baik.

“Apabila peluang pekerjaan yang baik diwujudkan, sudah tentu lebih ramai rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura akan mempertimbangkan untuk kembali bekerja di Johor,” katanya.

Scroll to Top