Semangat peminat suntik kekuatan Zamani berdiri sepanjang konsert

Semangat peminat suntik kekuatan Zamani berdiri sepanjang konsert

puterialia@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Kalau boleh saya memang tak nak duduk. Bukan sebab sombong, tapi selagi boleh berdiri, saya akan usaha berdiri,” kata vokalis kumpulan Slam, Zamani.

Meskipun status kesihatannya kurang baik, Zamani meluahkan rasa syukur kerana masih mampu memberikan persembahan bertenaga pada konsert The Grand Slam Unplugged 2, baru-baru ini.

Ditanya mengenai rahsia mengekalkan vokal yang mantap sehingga peminat terpukau, Zamani atau nama sebenarnya, Zamani Ibrahim mendedahkan tiada sebarang formula atau rahsia melainkan komitmen tingginya dalam latihan.

“Tak ada rahsia apa-apa pun. Sebenarnya saya berlatih setiap hari. Untuk konsert itu, kami habiskan masa sebulan lebih di studio. Kami berlatih setiap hari dari jam 12 tengah hari hingga 7 malam.

“Mungkin itu salah satu sebabnya, selebihnya saya bersyukur kepada Allah kerana diberi rezeki untuk menyampaikan persembahan seperti itu,” katanya ketika ditemui Harian Metro, baru-baru ini.

Menariknya, sepanjang konsert berskala besar itu berlangsung, Zamani dilihat berdiri tanpa duduk di atas kerusi, sekali gus mengkagumkan ribuan penonton yang hadir.

“Sebenarnya kalau nak ikutkan, saya sudah mula rasa (sakit) sewaktu masuk lagu yang kedua terakhir.

“Ketika itu saya sudah mula rasa sebak dan takut tak boleh nak habiskan persembahan sebab tenaga saya betul-betul dah habis.

“Namun, Alhamdulillah semangat itu datang daripada peminat. Saya sangat menghargai mereka dan kehadiran merekalah yang memberikan saya kekuatan luar biasa pada malam itu.

“Sebelum ini saya pernah buat persembahan secara duduk, jadi untuk konsert kali ini, selagi saya mampu berdiri dengan kekuatan sendiri, saya akan lakukan,” katanya.

Konsert The Grand Slam Unplugged 2 yang diadakan pada 20 Jun lalu berjaya menarik seramai 4,000 penonton dari pelbagai peringkat usia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top