'Saya bertenaga kerana makan ginseng Tibet' – Anwar

'Saya bertenaga kerana makan ginseng Tibet' – Anwar

khairil.ashraf@hmetro.com.my

Kulai: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini secara berseloroh kekuatannya yang mampu menghadiri lebih empat program pada Sabtu dan Ahad disebabkan tindakannya yang memakan ginseng tibet.

Perdana Menteri berkata, kehadirannya di Johor selama dua hari juga lebih banyak daripada Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari yang masih muda.

“Program saya lebih banyak daripada program Taufiq, apa ini anak muda? Tengok dia punya program malam ini dua sahaja, dia tambah satu jadi tiga.

“Ini orang tua punya program empat satu malam. Tahu apa sebab? Saya makan ginseng. Ginseng bukan sini punya, ginseng Tibet tau,” katanya dalam nada berseloroh.

Kata-kata diucapkan Anwar itu mendapat tepukan daripada pengunjung yang hadir dalam Program Kita Genk Madani X Anak Muda Bukit Batu di Taman Tropika, Kulai hari ini.

Hadir sama, Dr Mohammed Taufiq, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan; Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Mengulas lanjut, Anwar juga dalam nada bergurau menyatakan kepadatan jadualnya disebabkan aturan dilakukan Amirudin yang juga Pengarah Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH).

“Saya tak tahu Amir, dia atur saya punya program. Hari ini enam, esok lapan. Dia ingat saya umur 30 tahun.

“Malam (ini) empat program. Umur lebih 70 tahun dia ingat lebih 30 tahun,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top