am@hmetro.com.my
Gua Musang: Lelaki maut apabila lori muatan baja dipandunya terjauh ke dalam gaung sedalam lebih 45 meter berhampiran Jambatan Pos Blau-Lojing di Jalan Gua Musang-Lojing di sini, hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Muhamad Azrul Izzham Zulkifli berkata, pihaknya mengambil masa tiga jam untuk mengeluarkan mayat mangsa selepas menerima maklumat kejadian pada 11.58 pagi.
Katanya, operasi menyelamatkan mangsa membabitkan sembilan anggota dan tiga jentera, dengan jarak lokasi dari balai sejauh 98 kilometer.
“Pasukan tiba di lokasi pada 1.59 tengah hari dan operasi penyelamatan segera digerakkan susulan lori 10 tan jatuh dalam gaung berhampiran kebun, dengan anggaran kedalaman lebih 45 meter.
“Mangsa berusia 40-an ditemui tersepit di bawah batang pokok dan disahkan meninggal dunia di lokasi,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Menurutnya, usaha mengeluarkan mangsa mengambil masa berikutan kedalaman gaung dan perlu menggunakan gergaji berantai untuk mengalihkan batang pokok yang menghempapnya.
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
© New Straits Times Press (M) Bhd




