PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan komitmen untuk memastikan hasil negara yang diperoleh melalui tindakan penguatkuasaan terhadap kegiatan haram dan salah guna kuasa dipulangkan kepada rakyat.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, semua dana yang dirampas daripada hasil haram melalui proses undang-undang dan keputusan badan kehakiman akan dipulangkan untuk manfaat rakyat khususnya dalam bidang pendidikan dan kesihatan.
“Dan hari ini saya isytiharkan semua dana yang dirampas daripada hasil haram melalui proses undang-undang dan keputusan badan kehakiman, semua itu peroleh berbilion ringgit (dan) akan dipulangkan (kepada rakyat) terutama dalam bidang pendidikan dan kesihatan,” katanya semasa berucap pada Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2026 di sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, barisan jemaah menteri dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Majlis anjuran Kementerian Perpaduan Negara itu bagi menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan 2026 esok, di Dataran Putrajaya bertemakan “Malaysia Madani: Kesejahteraan Dinikmati”.
Perdana Menteri berkata, usaha itu penting bagi memastikan kemerdekaan bukan sekadar bebas daripada penjajahan, sebaliknya turut diterjemahkan melalui pengagihan hasil negara yang adil kepada rakyat.
“Apa erti kemerdekaan kalau negara ditadbir satu wajah penjajah? Apa erti kemerdekaan kalau hasil tidak dipulangkan kepada rakyat? Apa erti kemerdekaan kalau ada anak-anak yang terpencil dan terpinggir tidak mengecap kemewahan (seperti mana) dikecapi rakan-rakan,” katanya.
Anwar berkata, setiap rakyat tanpa mengira kaum termasuk Melayu, Iban, Kadazan, Orang Asli, Cina dan India, merupakan warga Malaysia yang perlu diberikan perhatian serta pembelaan sewajarnya.
Beliau turut menyeru rakyat negara ini supaya menjadikan sambutan Hari Kebangsaan sebagai kesempatan untuk memperkukuh muafakat, menyatukan tenaga dan ikhtiar serta bersama-sama menjamin masa depan negara.
Anwar berkata, Malaysia mampu diangkat martabatnya ke mercu gemilang dengan kekuatan dan semangat rakyat yang tidak pernah luntur.
“Dengan rahmat dan inayah Allah SWT dan kekuatan dan semangat yang tidak pernah luntur, insya-ALLAH kita akan berdiri bersama, teguh, gagah dan dihormati dunia,” katanya. – Bernama
