Kathmandu: Kerajaan Nepal meminta Meta dan TikTok segera menghapuskan gambar grafik, video dijana kecerdasan buatan (AI), kod QR palsu serta hantaran mengelirukan yang tersebar di platform mereka susulan banjir Bhotekoshi, lapor The Kathmandu Post.
Permintaan itu dibuat selepas pegawai kerajaan mengadakan perbincangan dengan wakil kedua-dua syarikat media sosial berkenaan bagi mendapatkan tindakan lebih pantas terhadap kandungan yang boleh mengelirukan orang ramai, menghalang usaha bantuan atau menyebabkan tekanan kepada keluarga mangsa.
Penyelaras pasukan petugas kawal selia dan pengurusan media sosial kerajaan serta pengarah di Pihak Berkuasa Telekomunikasi Nepal (NTA), Bijay Kumar Roy berkata, syarikat terbabit diminta menghapuskan kandungan tidak wajar dan mengelirukan sebaik sahaja dilaporkan.
“Kerajaan menggesa TikTok dan Meta menjadikan algoritma mereka lebih proaktif supaya kandungan grafik dan palsu disekat secara automatik sebaik sahaja ia dimuat naik,” katanya.
Permintaan itu susulan peningkatan bahan mengelirukan selepas banjir kilat pada Rabu, termasuk video lama yang diedarkan semula sebagai rakaman terbaharu serta video dan imej dijana AI yang dipersembahkan sebagai situasi sebenar bencana.
Pihak berkuasa turut mengesan kod QR palsu yang diedarkan untuk meminta sumbangan bagi mangsa banjir, yang dibimbangi boleh mengeksploitasi simpati orang ramai dan mengalihkan wang yang sepatutnya disalurkan untuk bantuan.
Dalam pada itu, Meta dan TikTok sudah melantik pegawai penghubung di Nepal bagi membolehkan pihak berkuasa melaporkan hantaran bermasalah, namun Roy berkata, platform terbabit kini mengambil masa antara 24 hingga 48 jam untuk bertindak terhadap hantaran yang dilaporkan.
Difahamkan, kelewatan itu menyebabkan bahan mengelirukan atau menyedihkan tersebar secara meluas sebelum dihapuskan, sekali gus mendorong syarikat berkenaan memendekkan tempoh tindak balas dan segera mengaburkan imej serta video yang memaparkan mangsa serta keadaan selepas bencana.
Kerajaan turut membentuk pasukan pelbagai agensi untuk memantau dan mengawal kandungan dalam talian berbahaya sepanjang krisis, membabitkan wakil Kementerian Komunikasi dan Maklumat, NTA serta Kementerian Dalam Negeri.
NTA bertanggungjawab terhadap penyelarasan teknikal dengan platform media sosial, manakala Polis Nepal mengenal pasti individu yang disyaki mencipta atau menyebarkan kandungan berniat jahat serta memulakan tindakan undang-undang jika perlu.
Sementara itu, Kementerian Komunikasi dalam kenyataan menggesa, media nasional, tempatan dan pengguna media sosial supaya tidak berkongsi gambar menyedihkan, laporan tidak disahkan serta bahan yang direka.
“Kami merayu kepada semua media nasional dan tempatan serta pengguna media sosial supaya tidak berkongsi khabar angin yang tidak disahkan, direka atau dijana AI yang menimbulkan panik,” menurut kenyataan itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd

