Gaduh guna senjata: Polis tahan 13 lelaki di Ayer Itam

GEORGE TOWN : Polis menahan 13 lelaki tempatan termasuk tiga individu di bawah umur bagi membantu siasatan berhubung satu kes pergaduhan menggunakan senjata di hadapan sebuah sekolah jenis kebangsaan cina (SJKC) di Ayer Itam di sini, semalam.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata, kesemua suspek yang berusia antara 16 hingga 33 tahun itu ditahan menerusi lima serbuan berasingan di beberapa lokasi di negeri ini bermula pukul 8.19 malam semalam hingga 4.22 pagi tadi.

“Siasatan awal mendapati, kejadian itu dipercayai berpunca daripada pertikaian akibat hutang susulan pertemuan beberapa individu di sebuah medan selera di Paya Terubong.

“Pada masa yang sama, polis turut menyiasat perkaitan kes itu dengan tindakan sebuah kereta yang dipercayai melanggar seorang mangsa ketika pergaduhan sehingga menyebabkan berlakunya kecederaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 148 dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan. Kertas siasatan pula akan dilengkapkan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya,” katanya di sini, hari ini.

Tambah beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes itu diminta untuk menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nurul Izzati Rohim di talian 013-4092884 atau balai polis berhampiran.

Dalam perkembangan berkaitan, Dennis berkata, sebagai langkah pencegahan, polis akan mempergiatkan rondaan serta pemantauan di lokasi berisiko selain meningkatkan risikan dan melaksanakan operasi bersasar bagi membendung kegiatan pergaduhan berkumpulan dan jenayah kekerasan.

Pada masa yang sama, beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri atau menggunakan kekerasan bagi menyelesaikan sebarang pertikaian.

“Dalam hal ini, ibu bapa dan penjaga juga dinasihatkan untuk memantau pergaulan serta aktiviti anak-anak bagi mengelakkan mereka terlibat dalam kegiatan jenayah,” katanya.-UTUSAN

 

 

Scroll to Top