am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Barisan Nasional (BN) Johor memerlukan mandat kepimpinan baru yang kukuh dan stabil bagi membolehkan agenda Maju Johor 2030 yang direncana dapat disempurnakan.
Atas sebab itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menjelaskan, pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) ketika ini wajar, berikutan tempoh penggal DUN Johor juga bakal berakhir dalam tempoh terdekat.
“Ada pemimpin di pusat kata (Menteri Besar Johor) Datuk Onn Hafiz Ghazi ini tidak bertanggungjawab kerana mengisytiharkan pembubaran lebih awal daripada tempoh masanya.
“Saya nak jelaskan di sini, kita sebuah negara demokrasi, Johor juga mengamalkan demokrasi.
“Setiap lima tahun, DUN akan terbubar dengan sendirinya, sekiranya tidak dibubarkan oleh Sultan Johor dengan nasihat Menteri Besar.
“Dalam sejarah Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, mahupun Pilihan Raya Umum (PRU), tidak pernah dalam sejarah negara, kita tunggu sampai habis penggal, DUN ataupun Parlimen terbubar dengan sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian berucap pada Program Himpunan Anak Muda DUN Tiram di Kampung Cahaya Baru, Masai di sini malam ini.
Turut sama hadir, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta calon BN DUN Tiram, Datuk Abdul Halim Suleiman.
Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, sudah menjadi kelaziman apabila cukup tempoh empat tahun penggal DUN atau Parlimen, maka biasanya kerajaan yang memerintah pasti akan menyerahkan balik mandat kepada rakyat.
“Sebelum satu-satu perancangan besar nak dilakukan dan itulah yang dibuat oleh Datuk Onn Hafiz. Kalau kita tengok PRN 2022 lalu, yang dilaksanakan pada bulan Januari, berapakah tempoh masa PRU sebelum itu sehingga PRN 2022?
“Tempohnya hanya tiga tahun lapan bulan. Itu pilihan raya dulu. Pilihan raya kali ini diisytiharkan selepas empat tahun satu bulan. Apakah Datuk Onn tidak bertanggungjawab? Tidak.
“Bahkan, sebagai Menteri Besar bertanggungjawab, bila beliau nak melaksanakan perancangan besar untuk Johor, beliau bertanggungjawab dengan menyerahkan balik mandat, biarlah rakyat menentukan,” katanya.
Bagi memenuhi agenda Maju Johor 2030, beliau berkata, sesebuah pentadbiran memerlukan tempoh masa mencukupi untuk menyempurnakan visi dibawa.
“Ini untuk Johor menjadi sebuah negeri maju yang boleh duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negeri-negeri di luar Malaysia, terutamanya negara jiran kita Singapura.
“Betul atau tidak tindakan Datuk Onn ini, menyerahkan balik pada rakyat?. Biarlah rakyat buat keputusan.
“Nak jadi negeri maju, itulah keputusan terbaik (yang diambil) kerana BN adalah sebuah parti yang tidak pernah meninggalkan, malah sentiasa membela rakyat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




