am@hmetro.com.my
Butterworth: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) meminta Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) mempercepatkan proses kelulusan permohonan dana koperasi dengan mengurangkan kerenah birokrasi.
Menterinya Steven Sim Chee Keong berkata, setiap permohonan yang memenuhi syarat sepatutnya dapat diluluskan dalam tempoh seminggu dan kelewatan memberi kelulusan tidak sewajarnya berlaku.
“Saya minta SKM, saya minta KUSKOP , bila orang dah pohon, jangan tunggu bulan-bulan, jangan tunggu minggu-minggu (nak luluskan).
“Kalau boleh, dalam masa satu minggu, kita bagi luluskan permohonan yang diminta oleh koperasi-koperasi,” katanya ketika berucap merasmikan Hari Koperasi Negara (HKN) 2026 di Pusat Konvensyen PICCA di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi SKM Leftenan Jeneral (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal.
Katanya, kelulusan permohonan yang cepat adalah penting bagi memastikan peruntukan yang disediakan kerajaan dapat dimanfaatkan segera oleh koperasi untuk mengembangkan perniagaan.
Steven Sim berkata, setiap koperasi digesa bergerak lebih pantas memohon dana yang disediakan dengan menegaskan bahawa peruntukan yang disediakan bertujuan untuk dimanfaatkan bagi memperkasa sektor berkenaan dan bukannya disimpan.
“Permohonan yang memenuhi syarat dan mempunyai dokumen lengkap tidak seharusnya dilengah-lengahkan kerana penyaluran dana yang pantas akan membolehkan lebih banyak koperasi memperluas operasi masing-masing,” katanya.
Setakat ini, KUSKOP melalui SKM memperuntukkan RM254 juta kepada gerakan koperasi tahun ini, jumlah terbesar dalam sejarah lebih 100 tahun kementerian itu.
Daripada jumlah berkenaan, sebanyak RM53 juta telah diluluskan kepada beberapa koperasi di seluruh negara.
Steven Sim berkata, Malaysia mempunyai lebih 16,000 koperasi berdaftar dengan hampir 7.3 juta anggota sehingga hujung tahun lalu.
Katanya, modal syer gerakan koperasi kini menghampiri RM20 bilion, manakala nilai aset mencecah hampir RM200 bilion, sekali gus membuktikan kekuatan sektor itu sebagai antara pemacu ekonomi negara.
Selain itu, katanya, perolehan perniagaan koperasi meningkat hampir 20 peratus daripada RM68 bilion pada 2024 kepada lebih RM82 bilion tahun lalu, meletakkan gerakan itu di landasan kukuh untuk melepasi sasaran RM100 bilion menjelang 2030.
© New Straits Times Press (M) Bhd




