Dua nahas ragut tiga nyawa

Dua nahas ragut tiga nyawa

am@hmetro.com.my

Kuala Selangor: Tiga individu maut dalam dua kemalangan berasingan yang berlaku dalam tempoh kira-kira 11 jam di daerah ini.

Dalam nahas pertama jam 5.30 petang semalam, pasangan suami isteri maut selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta di Kilometer 52 Jalan Klang-Teluk Intan.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin berkata, kemalangan membabitkan motosikal Honda Dash dan Perodua Bezza itu dipercayai berlaku apabila motosikal berkenaan memasuki laluan kereta secara tiba-tiba.

“Pemandu kereta melanggar bahagian belakang motosikal terbabit.

“Impak pelanggaran mengakibatkan penunggang iaitu lelaki berusia 67 tahun dan pembonceng, wanita, 63, cedera parah. Kedua-duanya disahkan meninggal dunia di zon merah Hospital Tanjong Karang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, nahas kedua berlaku jam 3 pagi tadi di Kilometer 61.5 Jalan Klang-Teluk Intan, mengorbankan seorang pemuda selepas motosikal Yamaha Lagenda merempuh pembahagi jalan.

Menurut Azaharudin, mangsa berusia 21 tahun dalam perjalanan dari Tanjong Karang ke Kuala Selangor dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar pembahagi jalan.

“Akibatnya, mangsa cedera parah dan disahkan meninggal dunia di zon merah hospital sama.

“Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top