Durian MS88 makin mendapat tempat, MARDI tanam 25,000 pokok sasar pasaran eksport

Durian MS88 makin mendapat tempat, MARDI tanam 25,000 pokok sasar pasaran eksport

Dalam usaha memperkukuh pengeluaran durian premium tempatan, 25,000 pokok durian hibrid Mardi Super 88 (MS88) telah ditanam di seluruh negara sepanjang tempoh lima tahun sejak 2021, sekali gus membuka peluang ke pasaran eksport.

Tiga varieti durian premium

Ketua Pengarah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani, berkata penanaman itu dilaksanakan sejak pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dengan keluasan kawasan seluas kira-kira 242.8 hektar di seluruh negara melibatkan petani di pelbagai negeri.

“MARDI telah menghasilkan tiga varieti durian premium sejak awal tahun 2000, dengan yang paling popular ialah Mardi Super 88 (MS88) atau nama asalnya MDUR88.
“Dua lagi varieti yang dibangunkan ialah MDUR78 dan MDUR79, menjadikan ketiga-tiganya sebagai varieti durian premium hasil penyelidikan dan pembangunan MARDI,” katanya kepada Oh My Media pada Program Duriotourism Mardi Kuala Kangsar bersama media di Taman Agroteknologi Mardi Kuala Kangsar, hari ini.

Menurut beliau, antara kawasan yang menerima bekalan anak benih MS88 dalam jumlah besar ialah Melaka, Selangor dan beberapa negeri di Pantai Timur.

Foto: BERNAMA

Mohamad Zabawi berkata, apabila lebih banyak pokok matang dan mula mengeluarkan hasil, pengeluaran MS88 dijangka meningkat sekali gus membuka peluang untuk dipasarkan ke luar negara.

“Peningkatan kawasan penanaman ini mampu menyumbang kepada pengeluaran durian yang lebih tinggi pada masa hadapan, sekali gus membuka potensi ke arah pasaran eksport.
“Kalau kita dah banyak tanam, petani banyak tanam, insya-Allah hasil itu akan banyak dan kita mungkin boleh mulakan eksport ke luar negara,” jelasnya.

Beliau berkata, peningkatan pengeluaran durian pada musim ini turut disumbangkan oleh pokok-pokok MS88 yang ditanam sekitar empat hingga lima tahun lalu yang kini sudah mula berbuah.

Selain itu, faktor cuaca yang sesuai turut membantu meningkatkan hasil pengeluaran durian di beberapa stesen penyelidikan MARDI termasuk di Kuala Kangsar, Jerangau, Sintok dan Jelebu.

“Tahun ini memang hasil lebih baik berbanding musim sebelum ini. Cuaca panas pada awal musim menggalakkan pembungaan, kemudian hujan ketika proses pembentukan buah mewujudkan keadaan yang sesuai untuk penghasilan durian,” tambahnya lagi.

Mengulas mengenai pembangunan varieti baharu, beliau memaklumkan MARDI kini sedang menilai tiga lagi hibrid durian yang berpotensi diperkenalkan kepada umum selepas memenuhi syarat dari segi kualiti buah, penerimaan pengguna dan kesesuaian untuk penanaman komersial.

Dalam pada itu, MARDI turut membangunkan teknologi penyimpanan kriogenik bagi membantu mengekalkan kesegaran durian.

Menurut Mohamad Zabawi lagi, teknologi tersebut membolehkan durian disimpan sehingga enam bulan dengan kualiti yang hampir menyamai buah segar, sekali gus berpotensi menyokong pasaran eksport pada masa hadapan.

MS88 merupakan antara tiga varieti premium yang dibangunkan MARDI sejak awal tahun 2000 selain MDUR78 dan MDur 79, dan kini semakin mendapat perhatian dalam kalangan pekebun serta penggemar durian tempatan.

Scroll to Top