Vancouver: Benteng kebal Colombia bakal berdepan ujian paling sukar apabila menentang Switzerland pada aksi pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2026, awal pagi Rabu, dengan tumpuan terarah kepada sensasi muda lawan, Johan Manzambi.
Colombia hanya dibolosi satu gol sepanjang kejohanan setakat ini, namun mereka perlu mencari jalan menyekat penyerang berusia 20 tahun itu yang sedang berada pada prestasi terbaik.
Manzambi memulakan kempen sebagai pemain gantian ketika aksi pembukaan menentang Qatar, tetapi kini muncul tonggak utama Switzerland selepas meledak tiga gol dan mencipta dua bantuan jaringan.
Pemain muda itu mula mencuri perhatian apabila menjaringkan dua gol ketika Switzerland membelasah Bosnia dan Herzegovina 4-1 sebelum terus menyerlah dalam perlawanan berikutnya.
Ketua jurulatih Switzerland, Murat Yakin menyifatkan Manzambi sebagai pemain istimewa yang semakin meningkat daripada satu perlawanan ke satu perlawanan.
“Sejak hari pertama dia seorang pemain yang istimewa. Prestasinya semakin baik dan dia sangat berbahaya setiap kali kami menyerang,” katanya.
Manzambi turut mencipta bantuan gol kepada Breel Embolo ketika Switzerland menewaskan Algeria 2-0 pada pusingan 32 terbaik.
Selain Manzambi dan Embolo, Dan Ndoye serta Ruben Vargas turut menjadi sandaran Switzerland selepas kuartet itu menjaringkan lapan daripada sembilan gol pasukan sepanjang kejohanan.
Pemain tengah Switzerland, Ardon Jashari pula menjangkakan Colombia akan memberikan tentangan sengit menerusi corak permainan yang pantas, penuh semangat dan agresif.
Pemenang pertemuan itu akan menentang sama ada Argentina atau Mesir pada aksi suku akhir dalam usaha meneruskan kemaraan di Piala Dunia 2026.
© New Straits Times Press (M) Bhd




