kartika@mediaprima.com.my
Putrajaya:Agrobank menerima lebih 160 permohonan pembiayaan mikro bernilai RM6.4 juta menerusi siri program libat urus bersama komuniti penjaja dan usahawan mikro yang dilaksanakan di beberapa pasar tani di seluruh negara setakat ini.
Program itu diperluaskan ke Pasar Tani Putrajaya sebagai lokasi kelima selepas Pasar Tani Taman Melawati, Pasar Tani Kelana Jaya, Pasar Tani Bandar Tasik Permaisuri dan Pasar Tani Dataran Puchong Permai selaras usaha bank berkenaan mendekati peniaga kecil secara langsung di lokasi perniagaan mereka.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, pendekatan turun padang itu membolehkan pihaknya memahami keperluan sebenar peniaga, di samping memberi penerangan lebih menyeluruh mengenai kemudahan pembiayaan dan sokongan kewangan yang disediakan.
“Pendekatan turun padang ini membolehkan Agrobank mendengar keperluan peniaga secara langsung, selain memberi penerangan yang lebih bersasar mengenai kemudahan pembiayaan dan sokongan kewangan yang tersedia.
“Bagi peniaga kecil, akses kepada maklumat yang jelas dan mudah dicapai adalah penting bagi membantu mereka membuat keputusan kewangan yang lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, Agrobank turut menyediakan peruntukan pembiayaan sebanyak RM20 juta bagi menyokong penjaja dan peniaga kecil di seluruh negara sebagai usaha memperluas akses kewangan kepada komuniti pasar tani.
Katanya, melalui pendekatan itu, peniaga boleh mendapatkan maklumat, khidmat nasihat dan semakan awal berkaitan pembiayaan dengan lebih mudah termasuk Skim Usahawan Tani Agrobank x FAMA yang menawarkan kadar keuntungan serendah 2.5 peratus setahun.
Selain pembiayaan, Agrobank turut menyediakan khidmat nasihat kewangan, perlindungan takaful, penyelesaian pendigitalan perniagaan serta program literasi kewangan bagi membantu meningkatkan daya tahan dan daya saing usahawan mikro.
Pemilihan Pasar Tani Putrajaya sebagai lokasi program adalah berdasarkan peranannya sebagai antara pasar tani aktif yang menghimpunkan 124 penjaja serta menerima lebih 5,000 pengunjung setiap minggu.
Majoriti peniaga di pasar tani itu juga sudah menggunakan sistem pembayaran tanpa tunai melalui kod QR, sekali gus menjadikannya lokasi strategik untuk memperluaskan penyelesaian kewangan kepada komuniti penjaja.
Sesi libat urus itu turut disertai beberapa agensi dan institusi perbankan lain bagi memperkukuh kerjasama dalam memperluaskan akses kepada penyelesaian kewangan yang lebih inklusif dan memenuhi keperluan penjaja, peniaga kecil serta usahawan mikro.
© New Straits Times Press (M) Bhd




