Parlimen untuk bahas isu berkepentingan negara

Parlimen untuk bahas isu berkepentingan negara

bhnews@bh.com.my

KUALA LUMPUR: UMNO akan terus menggesa supaya Parlimen bersidang bagi membahaskan isu berkepentingan negara yang mana jika tidak sekarang, ia sewajarnya dibuat apabila darurat tamat pada 1 Ogos depan.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan, berkata sebarang tarikh persidangan Parlimen yang akan diputuskan kerajaan kelak, sememangnya ada suatu perkara yang wajar dibincangkan segera.

“Soalnya sama ada kerajaan akan sekali lagi mencari ruang untuk mengelak peranan sebenar Parlimen kelak.

“Kenyataan Raja-Raja Melayu semalam yang jelas menyebut kaedah dan prosedur persidangan seperti yang diamalkan di negara lain wajar diperkenal di negara ini, jelas bahawa yang mengelak Parlimen adalah kerajaan, bukan institusi lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, pelbagai pihak menekankan soal perlunya Parlimen bersidang segera, sejajar dengan pandangan dizahirkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah dan Raja-Raja Melayu semalam.

Beliau berkata, beberapa kenyataan dikeluarkan pemimpin kerajaan seakan menunjukkan mereka tiada kesungguhan ke arah itu.

“Adakah kepemimpinan kerajaan khususnya Perdana Menteri sekali lagi akan menggunakan tafsiran paling mesra kepada agendanya untuk kekal berkuasa? Adakah akan berpaut kepada Ordinan Darurat jauh melangkaui 1 Ogos?

“Atau adakah kepemimpinan kerajaan, selewat-lewatnya selepas darurat tamat, akan segera kembali menyerah kepada sistem demokrasi berparlimen termasuk dalam soal keyakinan Ahli Dewan Rakyat terhadap perkara pokok seperti Belanjawan 2022?” katanya.

Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara semalam sependapat supaya Parlimen perlu segera bersidang dan baginda juga berpandangan supaya darurat yang tamat pada 1 Ogos ini tidak diteruskan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, ketika mengulas pandangan dizahirkan Yang di-Pertuan Agong, berkata, Al-Sultan Abdullah tidak memperincikan bila ia perlu dilaksanakan.

Katanya, Tuanku hanya berpandangan supaya sidang Parlimen diadakan secepat mungkin.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top