JAKARTA: Pembinaan dua kapal selam baharu kelas Scorpene telah bermula di Indonesia, menurut laman berita Interesting Engineering kelmarin.
Syarikat pembinaan kapal milik kerajaan, PT PAL, memulakan projek itu dengan kerjasama syarikat pertahanan Perancis, Naval Group.
Kapal selam kelas Scorpene dilaporkan mempunyai keupayaan tidak mampu dikesan oleh radar dan boleh membawa pelbagai jenis persenjataan.
Berkuasa dan mempunyai daya tahan operasi yang tinggi, kapal selam ini dianggap sebagai penanda aras antarabangsa bagi kapal selam konvensional.
Ia berupaya melaksanakan operasi tempur terhadap kapal laut dan kapal selam, selain menjalankan misi risikan serta pengumpulan maklumat.
Projek tersebut kini memasuki fasa pemotongan keluli pada Julai iaitu dua bulan lebih awal daripada jadual asal yang ditetapkan pada September depan.
Pengarah Pengeluaran PT PAL Indonesia, Diana Rosa dalam satu kenyataan media berkata, permulaan awal itu berjaya dilaksanakan selepas syarikat itu menyempurnakan fasa kelayakan dengan jayanya.
Proses pengesahan tersebut memperakui bahawa sumber manusia, proses pembuatan, kemudahan pengeluaran dan sistem kawalan kualiti PT PAL mematuhi piawaian antarabangsa bagi pembinaan kapal selam.
“Program ini merupakan pelaburan jangka panjang untuk meningkatkan kompetensi jurutera Indonesia, memperkukuh industri pertahanan nasional dan membangunkan ekosistem pembuatan berteknologi tinggi yang mampu bersaing di peringkat global,” kata Diana.
Beliau menarik perhatian bahawa kejayaan melepasi fasa kelayakan itu membuktikan keberkesanan program pemindahan teknologi yang sedang berjalan. Ia sekali gus meningkatkan keupayaan jurutera Indonesia dalam menguasai teknologi pembuatan tinggi.
Sebagai sebahagian daripada kerjasama dua hala itu, PT PAL telah menghantar puluhan jurutera ke kemudahan Naval Group di Perancis bagi menjalani latihan intensif dalam bidang kimpalan maju, kejuruteraan struktur, sistem mekanikal dan elektrikal serta jaminan kualiti. – AGENSI




