JAKOA, PERHILITAN akan tinjau, siasat lokasi serangan gajah liar di Pos Belatim

JAKOA, PERHILITAN akan tinjau, siasat lokasi serangan gajah liar di Pos Belatim

am@hmetro.com.my

Gua Musang: Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Kelantan dan Terengganu dengan kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) akan ke lokasi kejadian serangan gajah liar di beberapa pos penempatan Orang Asli, di sini, bagi membuat pemantauan dan siasatan menyeluruh.

Pengarahnya, Mohd Faedzyal Mohamed berkata, pihaknya dengan dengan kerjasama PERHILITAN akan menilai implikasi keselamatan di lapangan serta menyelaras proses taksiran bagi Bantuan Kerugian Harta Benda dan Tanaman (BKHT) demi meringankan beban penduduk Orang Asli yang terjejas.

Menurutnya, pihaknya memandang serius insiden pencerobohan kumpulan gajah liar di kawasan penempatan Orang Asli sehingga menjejaskan sumber makanan mereka dan mengancam keselamatan penduduk.

“Laporan diterima daripada wakil penduduk Orang Asli di Pos Balatim pada Selasa minggu lalu, apabila sekumpulan gajah liar memusnahkan kawasan kebun milik mereka, pihak kami memandang serius akan masalah ini.

“Antara kemusnahan tanaman yang dikenal pasti membabitkan tanaman pokok getah, pokok pisang, ubi kayu, jagung dan sayur yang bukan hanya menjadi sumber makanan tetapi juga pendapatan penduduk Orang Asli di pedalaman.

“Insya-Allah…kami dengan kerjasama pihak PERHILITAN akan ke lokasi kejadian untuk memantau, menyiasat serta membantu penduduk yang terjejas untuk membuat tuntutan BKHT serta menghulurkan bantuan bakul kepada mereka,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Mohd Faedzyal berkata, pihaknya turut menghargai setiap kerjasama dan laporan yang dibuat oleh penduduk Orang Asli terhadap ancaman haiwan liar di penempatan mereka sehingga tindakan susulan dapat diambil dengan segera.

Katanya, JAKOA bersama PERHILITAN akan terus memantau situasi ini secara konsisten bagi memastikan keselamatan penduduk orang asli dilindungi.

“Kami juga menasihatkan seluruh penduduk Orang Asli di pedalaman agar sentiasa berwaspada dengan keadaan sekeliling terutamanya ketika berada di kawasan pinggir hutan atau kebun yang berisiko menjadi laluan hidupan liar,” katanya.

Semalam, dilaporkan tujuh pekebun Orang Asli di Pos Belatim, di sini, terpaksa berputih mata apabila kebun yang diusahakan dengan pelbagai tanaman dimusnahkan sekumpulan gajah liar sejak dua minggu lalu.

Sekumpulan enam gajah liar itu merosakkan tanaman penduduk Orang Asli kaum temiar di tiga kampung iaitu Kampung Belatim A, B, dan C.

Selain itu, isu yang sama berlaku di Pos Pasik apabila kelibat gajah liar kerap berkeliaran di kawasan penempatan penduduk sehingga menimbulkan kebimbangan kepada mereka.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top