am@hmetro.com.my
Kemaman: Seorang bapa maut manakala dua anaknya cedera selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Kampung Cicar, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 9.10 malam, Muhammad Zarol Che Aziz, 29, yang cedera parah di kepala dan badan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Dua anak lelakinya, Muhammad Nuh Zaim, 6, dan Muhammad Luth Ziyad, 2, yang membonceng motosikal turut mengalami kecederaan di kepala dan anggota badan.
Sebelum kejadian, ketiga-tiga beranak itu dikatakan menikmati makan malam di sebuah kedai sebelum terbabit dalam kemalangan ketika dalam perjalanan pulang ke rumah di Taman Rakyat Bestari, Kampung Bukit Kuang, di sini.
Siasatan awal polis mendapati motosikal ditunggang mangsa dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung sebuah kenderaan pikap dipandu lelaki berusia 23 tahun.
Disebabkan jarak terlalu dekat, pemandu pikap berkenaan dikatakan gagal mengelak lalu merempuh bahagian hadapan motosikal mangsa.
Impak pelanggaran itu menyebabkan mangsa bersama dua anaknya tercampak ke atas jalan.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Razi Rosli ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.
Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk proses bedah siasat manakala dua anaknya menerima rawatan di hospital sama.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd


