Eda Ezrin masih tak selesa nak nyanyi lagu lain

Eda Ezrin masih tak selesa nak nyanyi lagu lain

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penyanyi popular Kelantan, Eda Ezrin mengakui masih belum bersedia untuk keluar daripada zon selesanya dengan membawakan lagu berbahasa Melayu standard kerana menganggap loghat Kelantan yang pekat masih menjadi cabaran buat dirinya.

Eda Ezrin atau nama sebenarnya Wan Norsahidah Azlin Wan Ismail berkata walaupun ada pihak termasuk komposer yang menawarkan lagu dengan konsep dan genre berbeza, dia memilih untuk tidak tergesa-gesa kerana mahu memberi tumpuan kepada karya yang lebih dekat dengan identitinya terlebih dahulu.

“Saya memang ada terfikir nak nyanyi lagu lain seperti balada, tetapi rasanya belum sampai masa lagi. Saya masih tak berani kerana loghat Kelantan saya masih terlalu pekat dan saya belum cukup yakin,” katanya kepada Harian Metro.

Penyanyi sensasi lagu Be Saba Be dan Adek Saye Abe Sore itu berkata, dia bimbang sebutan yang masih kuat dipengaruhi loghat negeri kelahirannya akan menjejaskan penyampaian lagu jika dipaksa menyanyikan genre lain.

“Saya rasa lebih baik saya belajar dan perlahan-lahan tingkatkan keyakinan diri saya takut nanti orang akan rasa janggal bila dengar saya menyanyi.

“Jadi buat masa ni saya lebih selesa memberi fokus kepada lagu-lagu berbahasa Kelantan yang sudah diterima baik oleh peminat selain terus memperbaiki mutu persembahan dari semasa ke semasa, katanya.

Eda bakal tampil sebagai antara artis utama sempena Konsert Kelate Ke KL 2026 di Zepp Kuala Lumpur pada 29 Ogos depan.

Selain Eda turut memeriahkan acara itu adalah Rosalinda, Adik Waniey, Man Khan, Den Manjo, Fendi Kenali dan Ariff Bahran, sekali gus menjadi pentas terbesar buat penyanyi itu di ibu negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top