Farahdhiya terkejut, persoal kelulusan babak drama tular

puterialia@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Penyanyi dan pelakon, Farahdhiya, mempersoalkan bagaimana adegan tidak bersesuaian dalam Madu Atau Racun mendapat kelulusan pihak tertentu untuk ditayangkan kepada umum.

Menerusi hantarannya di Threads, Farahdhiya atau nama sebenarnya Farahdhiya Mohd Amin, 41, menegaskan dia tidak pernah menonton drama terbabit dan hanya mengetahui mengenainya menerusi media sosial selepas ia menjadi tular.

“Dah alang-alang orang tuduh kita pertahankan ‘drama LGBT’ itu saya nak bagi pendapat yang baru 20 tahun lebih daIam industri ini.

“Pertama sekali, saya tak pernah tengok pun drama itu dan hanya mengetahui cerita itu di media sosial bila dah viral (tular),” tulisnya.

Bagaimanapun, Farahdhiya turut mengakui terkejut serta malu melihat adegan-adegan yang dipaparkan, selain berkata, perkara yang salah tetap salah dan pihak yang berkaitan perlu belajar daripada kesilapan dilakukan.

“Saya sendiri terkejut dan malu tengok adegan-adegan tersebut dan sejujurnya tertanya-tanya macam mana boleh lulus tayangan babak sebegitu.

“Kita tak perlu tegakkan benang yang basah. Benda yang salah tetap salah, pusinglah macam mana sekalipun. Hanya perlu belajar daripada kesilapan anda. Ini pandangan saya,” tulisnya lagi.

Terdahulu, drama berkenaan menerima kecaman hebat susulan terdapat babak yang didakwa memaparkan hubungan songsang lakonan Elisya Sandha dan Uqasha Senrose.

Isu berkenaan mencetuskan perdebatan sehingga orang ramai menolak tayangan drama bersiri 12 episod yang disiarkan di platform penstriman iQIYI itu termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.

Bagaimanapun, saluran penstriman, iQIYI bersetuju untuk membuat suntingan sebelum naskhah tersebut dinilai panel untuk tayangan semula atas arahan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) dalam sebuah mesyuarat yang diadakan, baru-baru ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top