RTM ungguli ASA2026

RTM ungguli ASA2026

am@hmetro.com.my

Putrajaya: Drama Selampai Labung terbitan Unit Drama TV RTM diumumkan sebagai Drama TV1 Terbaik pada Anugerah Seri Angkasa (ASA) 2026, malam ini.

Kemenangan itu membolehkan drama berkenaan menerima hadiah utama Dana Kandungan Digital (DKD) bernilai RM200,000 daripada Kementerian Komunikasi, wang tunai RM5,000 dan trofi.

Selain itu, ganjaran DKD bernilai RM150,000 dianugerahkan kepada penerbit dokumentari Di Sebalik Bayangan Harimau (TV1), Baharunnurdalila Baharuddin selepas naskhah garapannya diangkat Dokumentari TV Terbaik.

Pengarah, Bade Azmi pula diumumkan sebagai pemenang Pengarah Drama TV Terbaik menerusi drama Dosa Tak Terampun yang ditayangkan di TV1.

ASA2026 juga menyaksikan pelakon, Azhan Rani meraih trofi Pelakon Lelaki Drama TV Terbaik menerusi drama Wok, membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000, dana akaun Durian-i tajaan CIMB bernilai RM5,000 serta trofi.

Hadiah sama turut dimenangi pelakon, Noorkhiriah menerusi drama Seribu Tahun bagi kategori Pelakon Wanita Drama TV Terbaik.

ASA2026 juga menyaksikan kategori Skrip Drama TV Terbaik dimenangi penulis skrip, Abror Rivai menerusi drama Kalam Murabbi yang disiarkan di TV Alhijrah.

Bintang legenda, Datuk Rahim Razali diumumkan sebagai Tokoh Seri Angkasa sekali gus membawa pulang wang tunai RM10,000, dana akaun Durian-i tajaan CIMB bernilai RM8,000, Proton e.Mas 7, pakej percutian, serta trofi.

Sementara, pencipta kandungan animasi, Khui Siaw Fong menerusi karya animasi, Kumang and the Ungrateful Python (TVS) menerima Anugerah Khas Juri yang melayakkannya membawa pulang hadiah RM8,000 serta sebuah kereta elektrik, Perodua QV-E.

Selain itu, ASA2026 menyaksikan kategori Pengacara TV Terbaik dimenangi Muhammad Dinnie Asyraf Salim menerusi program Pindaan Akta 134 Orang Asli (Bernama TV).

Penyampai Berita TV Terbaik dimenangi Otto Othman (RTM) mengalahkan empat finalis lain.

Sementara, Penyampai Radio Lelaki Terbaik dan Penyampai Radio Wanita Terbaik masing-masing dimenangi oleh Azlan Omar (Klasik FM) dan Dyya Nawai (Nasional FM).

Media Prima Berhad turut membawa pulang empat anugerah iaitu Set TV Terbaik, Pengimbangan Muzik TV Terbaik dan Penataan Cahaya TV Terbaik (Anugerah Juara Lagu ke-39) serta Wartawan TV Terbaik iaitu Fahmi Tajuddin (Buletin Utama) menerusi Laporan Khas Isu Pemerdagangan Manusia.

Bertemakan Segalanya Bermula Di Sini, ASA2026 menyaksikan 60 kategori dipertandingkan meliputi televisyen, radio dan media baharu, di samping dua kategori khas, iaitu Anugerah Khas Juri dan Tokoh Seri Angkasa.

ASA2026 dihoskan oleh Datuk Aznil Nawawi dan Sherry Alhadad disiarkan secara langsung di TV1 dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top