Koperal patah tangan kanan, kenderaan PGA dirempuh ketika operasi antidadah

Koperal patah tangan kanan, kenderaan PGA dirempuh ketika operasi antidadah

am@hmetro.com.my

Rantau Panjang: Anggota polis berpangkat koperal patah tangan kanan selepas kenderaan Pasukan Gerakan Am (PGA) dirempuh lelaki dipercayai anggota sindiket pengedaran dadah yang beroperasi di Rantau Panjang.

Lelaki berkenaan bertindak agresif dalam usaha nekad melarikan diri daripada ditahan dalam satu operasi.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Ahmad Radzi Hussain, berkata koperal berusia 41 tahun yang memandu kenderaan pacuan empat roda, dibawa ke Hospital Lati di Pasir Mas untuk rawatan.

Menurutnya, kejadian berlaku selepas sepasukan Strike Force dari Batalion Kesembilan PGA menerima maklumat mengenai kegiatan sindiket pengedaran dadah menggunakan perkhidmatan kurier untuk menghantar dadah ke beberapa negeri di Semenanjung Malaysia dan Sarawak.

“Pada jam 1.30 tengah hari, pasukan itu pergi ke sebuah premis perkhidmatan kurier di Rantau Panjang dan menemui enam bungkusan plastik dipercayai mengandungi dadah.

“Pemeriksaan mendapati bungkusan itu mengandungi 70 gram bunga ganja, 10 minyak ganja dan tiga kilogram ganja mampat,” katanya ketika dihubungi.

Radzi berkata, pasukan kemudian menjalankan rondaan di kawasan berkenaan sebelum terserempak kereta Toyota Camry dipandu seorang lelaki yang dipercayai mempunyai kaitan dengan dadah yang ditemukan di premis kurier terbabit.

Beliau berkata, suspek berusia 35 tahun itu dipercayai memecut sejauh kira-kira dua kilometer dalam usaha mengelak pemeriksaan, sebelum keretanya melanggar kenderaan PGA, ketika anggota cuba menahannya.

Katanya, rempuhan menyebabkan anggota berkenaan patah tangan kanan, manakala tiga lagi dalam kenderaan tidak mengalami kecederaan.

“Suspek ditahan selepas kereta Toyota Camry itu rosak,” katanya.

Radzi berkata, pemeriksaan terhadap kereta berkenaan membawa kepada penemuan dan rampasan enam botol berisi cecair gelap disyaki mengandungi kodeina.

Beliau berkata, suspek dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket pengedaran dadah yang beroperasi di Rantau Panjang dan Pasir Mas.

Katanya, dadah dan ubat batuk keseluruhannya bernilai lebih RM10,000 turut dirampas dan kes dirujuk kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk siasatan lanjut.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top