WAWASAN tunggu persetujuan PN sebelum umum calon PRN Melaka – Hamzah

WAWASAN tunggu persetujuan PN sebelum umum calon PRN Melaka – Hamzah

am@hmetro.com.my

Larut: Parti Wawasan Negara (WAWASAN) akan mendapatkan persetujuan rakan parti dalam Perikatan Nasional (PN) terlebih dahulu sebelum mengumumkan keputusan berhubung kemungkinan meletakkan calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Presidennya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata keputusan itu perlu dibuat secara bersama oleh semua anggota gabungan berkenaan bagi memastikan pendirian PN dipersetujui semua pihak.

“Insya-Allah, apa pun yang pentingnya adalah persetujuan daripada kawan-kawan PN.

“Selepas itu baru kita umumkan, dan kita tidak mahu umum awal sebab biar keputusannya dibuat oleh seluruh anggota PN,” katanya ketika ditemui selepas Kenduri Kesyukuran Parlimen Larut sempena majlis perkahwinan di Dewan Terbuka PDM Sungai Bayor di sini, malam ini.

Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan pendirian parti itu berhubung penyertaan dalam pilihan raya di Sarawak nanti.

Mengulas kemungkinan PN mengambil tindakan terhadap Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) berhubung isu pembatalannya sebelum ini, Hamzah berkata, perkara itu sudah dibawa ke mahkamah dan wajar diserahkan kepada proses perundangan.

“Apa pun, kita telah membawa isu ini ke mahkamah, jadi biar mahkamah yang tentukan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top