am@hmetro.com.my
Melaka: Seramai 13 muka baharu daripada keseluruhan 21 calon diumumkan PH bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari, berkata langkah itu diambil PH dalam usaha menyuntik nafas baharu ke dalam barisan calonnya.
Beliau berkata, gabungan berkenaan turut mengekalkan lima penyandang, manakala tiga lagi calon yang diketengahkan pernah bertanding dalam pilihan raya sebelum ini.
Adly berkata, pemilihan calon mengambil kira pengalaman, kemampuan serta potensi mereka untuk menyumbang kepada pentadbiran negeri.
Beliau berkata, barisan calon kali ini merangkumi individu berpengalaman dalam pentadbiran kerajaan negeri dan agensi berkaitan, selain golongan profesional serta bakat muda.
Katanya, antara yang diketengahkan ialah calon Paya Rumput, Datuk Azman Abidin, yang mempunyai pengalaman dalam pentadbiran, serta calon Rembia, Mohd Khuzairie Mohd Kamal Kannan.
“PH turut memberi ruang kepada bakat muda menerusi seorang calon AMANAH berusia sekitar 23 tahun yang merupakan graduan undang-undang.
“Calon muda kita ini biarpun dia belum konvokesyen lagi, kita sudah pilih berdasarkan pencapaian dan bakatnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pengumuman Calon dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka PH oleh Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim di pekarangan Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, di sini, malam ini.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi PH, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Ketua Sekretariat Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah berkata, PH yakin gabungan pengalaman dan kemampuan calon yang diketengahkan mampu membantu mereka menyumbang kepada pembangunan serta pentadbiran negeri sekiranya diberikan mandat oleh rakyat
Bagi kategori penyandang, PH mengekalkan Adly di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil, Allex Seah Shoo Chin (Kesidang), Low Chee Leong (Kota Laksamana), Leng Chau Yen (Banda Hilir) dan Kerk Chee Yee (Ayer Keroh).
Sementara itu, tiga calon yang pernah bertanding sebelum ini ialah Datuk Ginie Lim Siew Lin di Machap Jaya, Datuk Ashraf Mukhlis Minghat di Durian Tunggal dan Farzana Hayani Mohd Nasir di Klebang, yang sebelum ini bertanding di Sungai Rambai.
Pembahagian kerusi calon pada PRN Melaka 14 November ini menyaksikan PKR akan bertanding di sembilan kerusi DUN, DAP di tujuh kerusi manakala AMANAH di lima kerusi, menjadikan keseluruhan 21 kerusi yang ditandingi gabungan berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




