am@hmetro.com.my
Ayer Keroh: Barisan Nasional (BN) Melaka akan mengumumkan manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka seminggu selepas hari penamaan calon iaitu pada 31 Oktober ini.
Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, manifesto berkenaan akan merangkumi pelbagai aspek termasuk ekonomi, pembangunan masyarakat, kebajikan, sosioekonomi dan sosiopolitik.
Beliau berkata, rakyat perlu menunggu pengumuman rasmi manifesto bagi menilai segala perancangan serta tawaran BN untuk pilihan raya kali ini.
“Kita akan ada manifesto seminggu selepas penamaan calon. Kita akan beritahu nanti supaya sama ada ekonomi, pembangunan masyarakat, kebajikan, sosioekonomi dan sosiopolitik juga akan dimasukkan dalam manifesto kita,” katanya kepada media selepas mengumumkan senarai calon BN bagi PRN Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, malam ini.
Pada majlis itu, Pengerusi BN yang juga Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, turut melancarkan Jentera Pilihan Raya dan Pengenalan Calon BN Negeri Melaka.
Hadir sama Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan; Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan; Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk Dr Loga Bala Mon; Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Bendahari Agung BN, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Ab Rauf berkata, manifesto kali ini bukan sekadar menampilkan tawaran yang kelihatan hebat, sebaliknya menekankan bagaimana kerajaan negeri diuruskan bagi memastikan pembangunan dan manfaatnya dapat dirasai rakyat.
Sementara itu, Ab Rauf berkata, kerjasama strategik antara BN dan PAS bersama rakan strategik bagi menghadapi PRN Melaka dilihat sebagai peluang menyatukan kedua-dua parti yang sekian lama dinantikan rakyat.
Katanya, kerjasama itu mengambil kira pandangan yang diumumkan kepimpinan tertinggi BN yang kini dibincangkan di peringkat akar umbi.
“Kerjasama ini memberikan satu kaedah penyatuan ke arah yang lebih baik dalam mewujudkan perpaduan antara PAS dan UMNO yang sekian lama ditunggu oleh rakyat,” katanya.
Mengulas kemungkinan timbul masalah dengan PAS dan rakan strategik susulan BN bertanding di Sungai Udang, Ab Rauf berkata, perkara itu tidak sepatutnya menjadi satu isu kerana ketika BN membuat hala tuju di Sungai Udang, parti itu tidak lagi mempunyai hala tuju untuk bersama Perikatan Nasional (PN).
Beliau berkata, BN sudah memberikan perkhidmatan kepada rakyat di kawasan berkenaan serta memenuhi keperluan mereka sepanjang mengurus tadbir kerajaan.
“Saya tak fikir perkara ini menimbulkan masalah dan sudah dipersetujui oleh semua pihak. Ia bukan satu perkara yang kontroversi, tetapi ia adalah sesuatu yang sensasi,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




