am@hmetro.com.my
Putrajaya: Pelakon veteran, Datuk Rahim Razali, 87, menerima Anugerah Tokoh Seri Angkasa 2026 pada malam kemuncak Anugerah Seri Angkasa 2026 (ASA2026) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, malam tadi.
Rahim membawa pulang wang tunai RM10,000, sebuah kereta elektrik Proton E-Mas 7 bernilai RM150,000, wang tunai tambahan bernilai RM 8,000 tajaan CIMB dan pakej percutian.
Anugerah berkenaan disampaikan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Menurut Rahim, segala pengorbanan dalam industri selama puluhan tahun berbaloi dengan anugerah diberikan.
Katanya, beliau berterima kasih kepada Kementerian Komunikasi khususnya Fahmi dan barisan kepimpinan serta seluruh warga kementerian atas pengiktirafan yang diberikan.
“Ini adalah satu-satunya anugerah yang amat saya kagumi, hormati dan sanjungi. Saya berasa amat bertuah menerima pengiktirafan ini setelah berpuluh tahun menabur khidmat. Syukur, Alhamdulillah.
“Sepanjang tempoh itu, saya tidak pernah berkhidmat secara sepenuh masa , sebaliknya sentiasa berstatus sambilan. Namun, status sambilan itulah yang sebenarnya menuntut dan menggunakan lebih banyak masa berbanding kerja sepenuh masa.
“Saya berasa amat terharu. Saya sangat bersyukur ke hadrat Allah SWT yang telah meredai penganugerahan yang sangat dihargai ini,” katanya dalam ucapan selepas kemenangan.
Sementara itu, Anugerah Khas Juri diberikan kepada Khiu Siaw (TVS) menerusi karya animasi, Kumang And The Ungrateful Phyton sekali gus membawa pulang wang tunai RM8,000 dan sebuah kereta Perodua QV-E bernilai RM80,000.
© New Straits Times Press (M) Bhd




