puterialia@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Keluarga Ain Edruce & Amirul Hafiz dinobatkan sebagai pemenang bagi kategori Keluarga Selebriti Terhangat, manakala penyanyi dan pelakon Alif Satar memenangi kategori Selebriti Fit Terhangat.
Sementara, penyanyi dan komposer, Hael Husaini dan Dayang Nurfaizah memenangi kategori Selebriti Chemistry Terhangat, manakala kategori Selebriti Mandarin Terhangat pula menjadi milik penyanyi dan penulis lirik, Dior Da Ying.
Pengumuman pemenang empat kategori Anugerah Melodi Terhangat 2026 (AMT2026) dibuat pada Konsert Cuckootopia Penghargaan Ulang Tahun Ke-12, di sini, malam tadi.
Amirul yang juga suami kepada pengacara, Ain Edruce mengucapkan ribuan terima kasih kepada orang ramai yang menyokong mereka sekeluarga.
“Terima kasih yang mengundi. Alhamdulillah hari tak hujan. Jaga kesihatan. Jangan bawa anak keluar,” kata Amirul apabila diminta untuk berucap.
Konsert berkenaan dihoskan oleh Kamal Adli, Fizza Frizzy dan Owen Yap dengan persembahan artis jemputan antaranya Datuk Seri Siti Nurhaliza yang juga Duta Cuckoo, Firdhaus, Jaclyn Victor, Ella, Mimifly, Alpha dan ramai lagi.
Duta Global Cuckoo yang juga pelakon Korea Selatan iaitu Lee Jun Ho turut hadir bagi memeriahkan konsert berkenaan.
Terdahulu, Malam Kemuncak AMT2026 pada 18 Oktober lalu menyaksikan Anna Jobling sebagai pemenang trofi utama.
Malam gilang-gemilang dengan tema ‘Power’ ini bukan sahaja meraikan kejayaan Anna, malah memberi pengiktirafan kepada personaliti lain menerusi 16 kategori yang dipertandingkan hasil undian peminat menerusi Tonton.
© New Straits Times Press (M) Bhd




