saufi@mediaprima.com.my
PENGELUAR peranti pintar terkemuka, Samsung Electronics memperkenalkan Galaxy A27 5G sekali gus penambahan terbaru dalam siri Galaxy A.
Peranti ini menawarkan paparan lebih jelas, prestasi mantap serta ciri kecerdasan buatan (AI) yang lebih menyeluruh untuk pengguna harian.
Peranti ini dibina bagi menambah baik pengalaman menggunakan telefon pintar Galaxy A26 5G dengan penambahbaikan yang lebih mesra pengguna.
Menyentuh aspek ketahanan, Galaxy A27 5G dilengkapi binaan yang diperkukuh serta perlindungan ‘Gorilla Glass Victus+’ bagi mengurangkan risiko calar dan kesan penggunaan harian.
Peranti ini turut menampilkan skrin ‘Super AMOLED’ dengan saiz skrin 6.7 inci dengan kadar segar semula 120 Hz serta paparan Infinity-O yang menggunakan reka bentuk lubang tebuk lebih kecil.
Ia memberikan lebih ruang skrin dengan bezel yang lebih seimbang dengan ketebalan hanya 7.8 milimeter, peranti ini direka supaya lebih selesa digenggam sepanjang hari.
Bagi sudut prestasi, Galaxy A27 5G digerakkan oleh cip Snapdragan 6 Gen 3 yang menawarkan prestasi Unit Pemproses Grafik (GPU) lebih baik untuk permainan dan penstriman, disokong memori berkelajuan tinggi bagi pemindahan data lebih pantas.
Kamera hadapan 12 Megapiksel (MP) turut ditambah baik untuk menghasilkan gambar swafoto yang lebih semula jadi dalam pelbagai keadaan pencahayaan.
Ciri kecerdasan buatan, ‘Circle to Search’ kini menyokong pengecaman berbilang objek dalam satu imej, manakala ‘Object Eraser’ menawarkan hasil suntingan yang lebih tepat.
Ciri Transkripsi Suara pula kini mampu menterjemah serentak semasa menaip transkrip dalam 22 bahasa.
Peranti ini turut menyokong pelbagai pembantu AI termasuk Google Gemini, Perplexity dan Bixby sebagai ejen perbualan peranti.
Pada masa sama, Samsung menawarkan sehingga enam generasi kemas kini sistem operasi Android dan One UI, serta enam tahun kemas kini keselamatan, disokong Samsung Knox Vault untuk keselamatan data.
© New Straits Times Press (M) Bhd




