suzalina@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengambil langkah susulan berdasarkan Perlembagaan dan undang-undang susulan pandangan dizahirkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya persidangan Parlimen diadakan secepat mungkin.
Pejabat Perdana Menteri berkata, kerajaan mengambil maklum pandangan Seri Paduka Baginda seperti yang terkandung dalam kenyataan Istana Negara, semalam.
“Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menyembah maklum dan menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai pelbagai perkara antaranya pelaksanaan sidang Parlimen ketika sesi menghadap baginda sebelum ini.
“Perdana Menteri menyembah maklum dan menasihati Seri Paduka Baginda mengenai perjalanan pengurusan pandemik COVID-19, penguatkuasaan Ordinan-ordinan Darurat dan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
“Begitu juga mengenai pakej rangsangan ekonomi dan bantuan kewangan kepada rakyat, pelaksanaan sidang Parlimen, Pelan Pemulihan Negara dan perkara lain berkaitan,” kata Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan, hari ini.
Semalam, Al-Sultan Abdullah menzahirkan pandangan supaya persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi menangani COVID-19 dan menyelamatkan ekonomi negara.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, perkara itu perlu dilaksanakan untuk membolehkan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh Ahli Dewan Rakyat.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas Yang di-Pertuan Agong berkenan berangkat menghadiri dan mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara, semalam.
© New Straits Times Press (M) Bhd
