PM Anwar tegaskan masyarakat India tak akan dipinggirkan -“Pelbagai ikhtiar telah digerakkan”

Masyarakat India tidak akan sesekali dipinggirkan dalam agenda pembangunan negara, malah Kerajaan Madani akan terus memperluas pelbagai ikhtiar bagi meningkatkan taraf hidup komuniti berkenaan.

Pelbagai usaha dilakukan

Menerusi hantaran di media sosial, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, antara usaha yang dilaksanakan termasuk memperluas akses pembiayaan kepada usahawan, memperkukuh Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA), memperkasakan latihan keusahawanan dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Buka lebih banyak ruang pembangunan belia

Selain itu, kerajaan turut membuka lebih banyak ruang pembangunan belia menerusi program mentor-mentee bagi memastikan golongan muda daripada komuniti India terus mendapat peluang untuk berkembang.

Anwar berkata demikian selepas meneruskan siri libat urus bersama pimpinan masyarakat India bagi meneliti kemajuan pelaksanaan agenda Kerajaan Madani, selain mendengar pandangan serta keresahan yang masih membelenggu komuniti berkenaan.

“Pelbagai ikhtiar telah digerakkan dalam bidang pendidikan, keusahawanan, pembiayaan mikro, kebajikan dan bantuan tunai bagi meringankan beban keluarga serta meningkatkan taraf hidup,” kata beliau dalam hantaran Facebook.

Dalam pada itu, Anwar berkata, segala kelompongan yang masih wujud termasuk berkaitan kemiskinan, kewarganegaraan dan akses kepada bantuan perlu ditangani dengan segera serta berkesan.

Beliau turut menggesa kementerian dan agensi berkaitan memperkukuh sinergi serta memperkemas penyampaian supaya setiap peruntukan dan dasar yang digerakkan benar-benar sampai kepada kumpulan sasaran serta membawa perubahan nyata dalam kehidupan rakyat.

Sumber: Facebook Anwar Ibrahim

Scroll to Top